Masyarakat ingatkan berhati-hati keluarkan pandangan berkaitan agama

Perkasakan lagi program pendidikan untuk perbetulkan kefahaman masyarakat

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Masyarakat diingatkan supaya berhati-hati ketika mengeluarkan pandangan atau kenyataan berkaitan ilmu agama, Rasulullah SAW serta para sahabat baginda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penularan klip video ucapan yang didakwa menghina sahabat Rasulullah SAW mencetuskan kebimbangan.
  • Golongan agamawan dan individu berpengaruh digesa lebih peka serta bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan.
  • Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memperkasakan program pendidikan untuk betulkan kefahaman dan tanam kecintaan.
  • Kenyataan dibuat selepas Majlis Konvokesyen ke-32 Institut Kemahiran Baitulmal; 88 graduan menerima sijil dan anugerah kecemerlangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata peringatan itu susulan penularan klip video ucapan yang didakwa menghina sahabat Rasulullah SAW baru-baru ini.

Menurut beliau, golongan agamawan serta individu yang mempunyai pengaruh dan ramai pengikut perlu lebih peka serta bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan atau pertuturan yang disampaikan kepada masyarakat.

Katanya, pendekatan pendidikan dan kesedaran akan terus diperkukuh bagi membentuk kefahaman yang tepat serta memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

“Insya-Allah, di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita akan memperkasakan lagi program-program pendidikan untuk memperbetulkan kefahaman masyarakat serta menanamkan kecintaan kepada para sahabat dan Rasulullah SAW.

Pendekatan yang lebih rahmah akan digunakan dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-32 Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) di ibu negara.

Seramai 88 graduan menerima sijil dan anugerah kecemerlangan pada majlis berkenaan.