
KUALA LUMPUR, 13 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat tokoh akademik dan pakar hubungan antarabangsa, Profesor Seyyed Vali Reza Nasr di Perdana Putra, Putrajaya.
- Perbincangan tumpu ketegangan Amerika Syarikat-Iran dan impaknya kepada kestabilan geopolitik dunia.
- Tiga kesan utama dibincangkan: kestabilan geopolitik, risiko keselamatan serantau, dan cabaran bekalan tenaga global.
- Anwar menyeru pengukuhan diplomasi antarabangsa serta rundingan berterusan untuk elak situasi bertambah buruk dan jaga kesejahteraan sejagat.
- Kehadiran Profesor Vali Nasr atas undangan UIAM dilihat peluang memperkukuh diplomasi ilmu dan memahami kerumitan isu Asia Barat.
Pertemuan yang berlangsung di pejabat Perdana Menteri itu menyentuh pelbagai isu kritikal khususnya ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran yang menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.
Menerusi hantaran di media sosial rasmi, Datuk Seri Anwar memaklumkan perbincangan bersama sarjana berkenaan turut memberi tumpuan kepada tiga kesan utama konflik tersebut iaitu kestabilan geopolitik dunia, risiko keselamatan serantau dan cabaran terhadap krisis bekalan global.
“Kami memanfaatkan ruang pertemuan ini untuk bertukar pandangan berhubung perkembangan konflik Amerika Syarikat-Iran, termasuk implikasinya terhadap kestabilan geopolitik dunia serta krisis bekalan tenaga global,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar usaha diplomasi antarabangsa terus diperkukuh bagi mengelakkan situasi bertambah buruk, selain menegaskan kepentingan rundingan berterusan dalam menjamin kesejahteraan sejagat.
Profesor Vali Nasr yang juga penulis dan pakar pengajian Islam berada di Malaysia atas undangan khas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kehadiran beliau dilihat sebagai peluang memperkukuh peranan Malaysia dalam diplomasi ilmu serta memperdalam kefahaman terhadap kerumitan isu di rantau Asia Barat.