PDRM perkemas SOP konvoi, keselamatan anggota jadi keutamaan

Nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak tahun lalu/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) penugasan melibatkan pergerakan konvoi besar bagi meningkatkan keselamatan anggota ketika bertugas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penambahbaikan SOP dilakukan secara berterusan untuk mengelakkan tragedi kemalangan melibatkan trak FRU berulang.
  • Peningkatan aspek logistik dan perolehan kenderaan baharu bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta semangat petugas.
  • Kebajikan anggota dan keluarga diberi perhatian termasuk bantuan keperluan serta perlindungan insurans; keselamatan sentiasa keutamaan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penambahbaikan SOP itu dilakukan secara berterusan bagi mengelakkan tragedi kemalangan maut melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak genap setahun lalu daripada berulang.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan bukan sahaja di lokasi penugasan, malah ketika pegawai dan anggota berada di jalan raya serta dalam perjalanan operasi rasmi.

“PDRM telah membuat banyak penambahbaikan serta memperkemas SOP dalam penugasan, terutama melibatkan konvoi besar. Saya percaya dengan peningkatan peraturan itu, kita dapat mengurangkan kemalangan bukan sahaja ketika bertugas, malah semasa berada di jalan raya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata PDRM turut mempertingkatkan aspek logistik serta kelengkapan pasukan FRU dari semasa ke semasa termasuk menerusi perolehan aset dan kenderaan baharu.

Katanya, kerajaan turut menyalurkan peruntukan bagi memperkukuh peralatan serta logistik PDRM demi memastikan kesiapsiagaan dan kebajikan pegawai serta anggota sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kita mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk mempertingkatkan peralatan dan logistik termasuk kenderaan baharu yang saya percaya memberi semangat lebih kuat kepada semua petugas PDRM,” tambahnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga anggota yang terlibat dalam sebarang insiden turut diberi perhatian termasuk membabitkan bantuan keperluan serta perlindungan insurans.

“Setakat ini kita telah melaksanakan segala bantuan keperluan, insurans dan sebagainya dengan baik dan sempurna. Jika ada kekurangan, saya minta berhubung Ketua Polis Negeri masing-masing,” jelasnya.

Beliau menegaskan, aspek keselamatan pegawai dan anggota sentiasa menjadi keutamaan PDRM dengan pematuhan terhadap SOP terus diperkukuhkan dalam setiap penugasan pasukan keselamatan itu.

Terdahulu, Dalam kejadian 13 Mei tahun lalu, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki dirempuh lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan Op Chariot di Teluk Intan.