
TOKYO, 14 Mei – Pembuat kerepek kentang terkemuka Jepun menangani masalah kekurangan bahan mentah tertentu yang dikaitkan dengan krisis Asia Barat dengan menukar warna pembungkusan kepada hitam dan putih.
- Kekurangan naphtha akibat krisis Asia Barat ganggu bekalan bahan mentah, termasuk dakwat cetakan.
- Barangan terjejas termasuk beberapa kerepek kentang dan bijirin sarapan pagi.
- Syarikat seperti Calbee dan Itoham pertimbang guna variasi dakwat atau warna terhad untuk menyesuaikan pengeluaran.
- PM Sanae Takaichi: Jepun tingkat import luar Asia Barat, jangka cukup bahan kimia berasaskan naphtha hingga akhir tahun.
Calbee, terkenal dengan kerepek kentang pelbagai perisa termasuk garam rumpai laut, kicap dan mentega sebelum ini menggunakan bungkusan berwarna oren-kuning.
Syarikat itu berkata pihaknya akan menyemak spesifikasi pembungkusan dan menggunakan hanya dua warna dalam pembungkusan untuk 14 jenis produk keluarannya bermula akhir bulan ini atau Jun.
Jenama tersebut menyalahkan ketidakstabilan bekalan bahan mentah tertentu akibat daripada ketegangan yang memuncak di Asia Barat.
Media tempatan berkata pembuat makanan ringan itu terjejas perolehan dakwat percetakannya disebabkan oleh kekurangan naphtha iaitu produk sampingan minyak yang digunakan dalam pelbagai industri.
Barangan yang terjejas termasuk beberapa produk kerepek kentang serta bijirin sarapan pagi.
“Kami akan terus bertindak balas dengan pantas dan fleksibel kepada perubahan dalam persekitaran perniagaan termasuk risiko geopolitik, sambil berusaha untuk menyampaikan produk yang selamat, boleh dipercayai dan memuaskan,” kata syarikat itu.
Satu lagi syarikat makanan Jepun, Itoham Yonekyu Holdings juga memberitahu bahawa menggunakan dakwat hitam-putih atau pelbagai jenis dakwat untuk beberapa produknya adalah antara alternatif yang mungkin dilakukan pada masa depan.
“Kami menyalahkan masalah bekalan terganggu akibat konflik di Asia Barat,” katanya lagi.
Kira-kira satu perlima daripada minyak dunia yang kebiasaannya melalui Selat Hormuz terjejas akibat penutupannya hingga menyebabkan harga meningkat.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi sebelum ini berkata Tokyo dijangka mempunyai produk kimia terbitan naphtha mencukupi dan mampu bertahan hingga akhir tahun ini selepas meningkatkan import dari luar Asia Barat.
Kekurangan naphtha iaitu sejenis bahan mentah petrokimia memberi impak besar kepada industri plastik, dakwat cetakan dan pengeluaran makanan.
Minggu lalu Takaichi berkata bahawa tekanan bekalan minyak global memberi “impak besar” ke atas rantau Asia-Pasifik.-AFP