70 delegasi perniagaan Jerman tinjau peluang pelaburan di JS-SEZ

90 syarikat Jerman yang beroperasi di Johor /Foto arkib BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 13 Mei – Seramai 70 delegasi perniagaan dari Jerman dijadual mengadakan lawatan ke Johor esok bagi meneroka potensi pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

RINGKASAN BERITA AI
  • Johor mempunyai kelebihan strategik: lokasi, keluasan tanah, akses maritim dan tenaga kerja pelbagai bahasa, menarik minat pelabur Jerman.
  • Kira-kira 90 syarikat Jerman kini beroperasi di Johor, mewakili 12 peratus daripada 750 syarikat Jerman di Malaysia.
  • Perbincangan merangkumi kerjasama pembangunan bakat melalui latihan teknikal dan sistem latihan vokasional dual Jerman.
  • Potensi diperluas ke sektor pembuatan berteknologi tinggi seperti automasi, kenderaan elektrik dan automotif, serta minat rentas sempadan dari Singapura tinggi.

Duta Besar Jerman ke Malaysia, Silke Riecken-Daerr berkata Johor mempunyai potensi besar untuk menarik lebih banyak pelaburan dari negara itu berikutan kedudukannya yang strategik, keluasan tanah, akses maritim serta keupayaan tenaga kerja tempatan menguasai pelbagai bahasa.

Menurut beliau, ketika ini terdapat kira-kira 90 syarikat Jerman yang beroperasi di Johor, mewakili 12 peratus daripada keseluruhan 750 syarikat Jerman yang melabur di Malaysia.

Beliau berkata, mesyuarat antara kedua-dua pihak hari ini turut membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan bakat menerusi program latihan teknikal termasuk sistem latihan dual vokasional Jerman.

“Kami melihat ciri-ciri dinamik yang terdapat di JS-SEZ, termasuk dari aspek reka bentuk dan pembangunan zon tersebut. Kami juga melihat minat rentas sempadan yang tinggi daripada syarikat Jerman yang berpangkalan di Singapura untuk mengembangkan operasi mereka ke Johor,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata pertemuan itu turut membuka peluang kerjasama dalam pembangunan bakat tempatan khususnya bagi sektor minyak dan gas.

Menurut beliau, kerjasama itu berpotensi diperluaskan ke sektor pembuatan berteknologi tinggi seperti automasi, kenderaan elektrik (EV) dan automotif yang sememangnya menjadi kekuatan industri Jerman.

“Buat masa ini, fokus diberikan kepada industri minyak dan gas. Namun, sektor pembuatan termaju seperti automasi, EV dan automotif juga mempunyai potensi besar untuk diterokai bersama,” katanya.

Mereka ditemui selepas menghadiri mesyuarat di Kota Iskandar, di sini, yang turut disertai Duta Besar Jerman ke Singapura, Bettina Fanghanel.