Malaysia-China perluas kerjasama dalam industri sawit

Minyak sawit bukan lagi sekadar komoditi eksport/Foto Bernama

SHANGHAI, 13 Mei – Malaysia dan China berpeluang besar untuk memperluas kerjasama dalam industri sawit selaras peningkatan permintaan terhadap produk mampan dan berprestasi tinggi itu di pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Minyak sawit kini strategi nasional, menyokong inovasi, pembuatan mampan dan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
  • Peranan merentasi sektor: pembuatan makanan, oleokimia, ramuan khusus, penjagaan diri, penjagaan rumah dan aplikasi industri baru.
  • Malaysia mahu mengukuhkan kerjasama dengan China melalui pembangunan hiliran, pertukaran teknologi dan pengembangan industri nilai tambah.
  • Kerjasama melampaui perdagangan; termasuk pelaburan, kolaborasi industri dan integrasi rantaian bekalan menyokong pembangunan mampan jangka panjang.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, minyak sawit bukan lagi sekadar komoditi eksport, sebaliknya berkembang
sebagai pemacu industri strategik yang menyokong inovasi, pembuatan mampan dan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.

Beliau berkata, minyak sawit juga berperanan penting merentasi pelbagai sektor pertumbuhan tinggi, termasuk pembuatan makanan, oleokimia, ramuan khusus, penjagaan diri, penjagaan rumah dan aplikasi industri yang baru muncul.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad/Foto Bernama

”Minyak sawit tidak lagi dilihat sebagai eksport komoditi semata-mata, tetapi menjadi industri yang semakin strategik, pemboleh yang menyokong inovasi, pembuatan mampan dan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.

”Malaysia melihat potensi kukuh untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan China melalui hiliran pembangunan, pertukaran teknologi, dan pengembangan industri berasaskan sawit nilai tambah.

“Selain itu, China juga secara konsisten kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala melebihi AS$100 bilion dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Perkara itu bukan sahaja menunjukkan kemahiran kerjasama tetapi juga hubungan kukuh antara ahli ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) China 2026.

Jelas Datuk Seri Noraini lagi, hubungan kedua-dua negara juga berterusan melangkaui perdagangan tradisional. Ia kini termasuk pelaburan, kerjasama industri dan integrasi rantaian bekalan merentasi banyak sektor.

Forum anjuran Malaysian Palm Oil Council itu mengetengahkan potensi minyak sawit Malaysia sebagai input industri bernilai tinggi dan mampan bagi menyokong inovasi, pembangunan hiliran sertakerjasama ekonomi jangka panjang antara kedua-dua negara.

Mengulas lanjut beliau berkata Malaysia turut mengeksport kira-kira 2.64 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke China, dengan hasil eksport bernilai sekitar RM10.9 bilion pada tahun lepas.

Beliau berkata, kerjasama lebih kukuh antara Malaysia dan China dalam sektor minyak sawit bukan sahaja akan meningkatkan prestasi perdagangan dua hala, malah turut menyokong inovasi industri, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta pembangunan mampan jangka masa panjang bagi kedua-dua negara.