Seorang maut, motosikal bertembung kereta di persimpangan jalan

Gambar Fail

KEMAMAN, 12 MEI Seorang maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kilometer 158, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Geliga Chukai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Zulkarnain Rawi, 51, disahkan meninggal di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
  • Kejadian berlaku ketika lampu isyarat hijau berkelip; motosikal dipercayai gagal elak kereta Perodua Myvi yang keluar dari simpang.
  • Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat; pemandu Myvi mengalami cedera ringan; kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa, Zulkarnain Rawi, 51 tahun, berasal dari Kampung Chendor Baru, Kuantan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Bandar Chukai menghala ke Chendor dipercayai meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat hijau sedang berkelip.

“Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun dari arah Pusat Dialisis Buah Pinggang sedang keluar dari simpang menuju ke Bandar Chukai.

“Motosikal mangsa dipercayai gagal mengelak kenderaan tersebut lalu berlaku perlanggaran kuat yang menyebabkan mangsa tercampak,” katanya.

Mohd Razi menambah, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Pemandu kereta terbabit pula dilaporkan hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.