
SHAH ALAM, 10 Mei – Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) sedang menguruskan bantuan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham Muhammad Fahim Darwisy Yusmafendi,12, yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika bacaan Yasin di sekolah.
- Seorang murid Tahun 6 dilaporkan pengsan semasa perhimpunan di sebuah sekolah di Kapar.
- Keadaan berlaku selepas murid mengikuti sesi bacaan Yasin di dewan sekolah.
- Mangsa disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
- Proses bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah; kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Kenyataan jabatan itu menyatakan segala aspek kebajikan dan kesejahteraan diberi perhatian pihaknya.
“Pihak kami merakamkan ucapan takziah dan sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga Allahyarham,” jelas kenyataan tersebut.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Terdahulu, pada Jumaat, seorang murid lelaki tahun enam dilaporkan pengsan ketika perhimpunan sebuah sekolah di Kapar sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S Vijaya Rao berkata mangsa dilaporkan pengsan kira-kira pukul 8:30 pagi ketika perhimpunan di sekolah berkenaan sebelum dibawa ke HTAR.
Difahamkan mangsa pengsan selepas mengikuti aktiviti bacaan Yasin yang diadakan di dewan sekolah terbabit.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital. Proses bedah siasat yang dijalankan terhadap kanak-kanak itu mendapati tiada sebarang unsur jenayah berhubung kejadian,” katanya lagi.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.