Salur pertikaian sekatan MCMC melalui tribunal

Foto BERNAMA

KULAI, 10 Mei – Mana-mana individu yang dikenakan sekatan akaun atau penurunan kandungan oleh platform media sosial boleh membuat rayuan menerusi Tribunal Rayuan Komunikasi dan Multimedia, Dan Keselamatan Dalam Talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tribunal Rayuan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi bersama sekurang-kurangnya dua ahli.
  • Teo Nie Ching menjelaskan beliau dan Menteri Komunikasi tidak terlibat dalam keputusan tribunal.
  • Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh dicabar menerusi tribunal jika berlaku pertikaian.
  • Beliau menyempurnakan majlis sumbangan kepada 235 pelajar cemerlang SPM 2025 di Parlimen Kulai.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyatakan sebarang pertikaian berkait tindakan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh dilakukan melalui saluran berkenaan.

“Tribunal Rayuan berkenaan akan dipengerusikan Hakim Mahkamah Tinggi bersama dengan sekurang-kurangnya dua ahli Tribunal. Pihaknya dan Menteri Komunikasi tidak terlibat dalam keputusan yang dibuat.

“Keputusan MCMC boleh dicabar menerusi tribunal rayuan itu jika terdapat pertikaian,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan majlis sumbangan pelajar cemerlang SPM 2025 peringkat Parlimen Kulai di sini.

Seramai 235 pelajar diraikan menerima sumbangan melibatkan kos keseluruhan RM174,593.

Daripada jumlah itu, 88 pelajar mendapat 7A masing-masing menerima RM500 setiap seorang dan 72 pelajar cemerlang 8A menerima RM600 seorang.

Sementara itu, 47 pelajar meraih 9A menerima satu unit tablet setiap seorang, manakala 25 pelajar meraih 10A dan tiga pelajar mendapat 11A masing-masing menerima komputer riba.