Premis makanan gajikan warga asing digempur

Foto JIM Johor

JOHOR BAHRU, 10 Mei – 27 warga asing diberkas atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang menyasarkan premis makanan di sini, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majikan tempatan menggajikan serta melindungi warga asing tanpa dokumen dan pas kerja sah; pihak berkuasa tidak akan berkompromi.
  • Warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak, disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan berkaitan.
  • Tahanan terdiri kebanyakannya warga Myanmar, juga Bangladesh, Pakistan dan Nepal; tiga Borang 29 dikeluarkan untuk saksi.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata antara kesalahan ialah majikan tempatan menggajikan serta melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas kerja sah.

“Warga asing bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua yang dicekup terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita warga Myanmar.

“Turut ditahan, masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh, Pakistan dan Nepal berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun,” katanya.

Jelas beliau lagi, sebanyak tiga keping borang 29, iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan premis perniagaan sebagai ‘lubuk’ menggaji pendatang tanpa izin demi mengaut keuntungan mudah,” tegasnya.