Indonesia perkukuh perlindungan pekerja migran

Indonesia sokong Deklarasi Kemajuan sebagai rujukan tadbir urus migrasi global bagi tempoh 2026 hingga 2030.

JAKARTA, 11 Mei – Indonesia menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh perlindungan pekerja migran sempena Forum Kajian Semula Migrasi Antarabangsa (IMRF) 2026 Kedua yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyokong Deklarasi Kemajuan sebagai rujukan tadbir urus migrasi global di bawah rangka GCM bagi 2026 hingga 2030.
  • Hak dan maruah pekerja migran mesti dijadikan teras dalam tadbir urus migrasi global.
  • Mengiktiraf perbezaan realiti migrasi, memerlukan pendekatan sama rata, saling menghormati dan kerjasama antara negara.
  • KP2MI dan kerajaan komited melaksanakan deklarasi untuk perlindungan berkesan dan mampan bagi pekerja migran Indonesia.

Komitmen itu disampaikan menerusi Penjelasan Undi selepas Deklarasi Kemajuan diterima secara konsensus oleh semua negara anggota PBB pada Jumaat.

Ketua Pengarah Perlindungan Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (KP2MI), Rinardi berkata Indonesia menyokong sepenuhnya deklarasi berkenaan sebagai rujukan tadbir urus migrasi global bagi tempoh 2026 hingga 2030 di bawah rangka kerja Global Compact for Safe, Orderly and Regular Migration (GCM).

“Indonesia menyokong sepenuhnya Deklarasi Kemajuan tanpa sebarang pengecualian. Hak dan maruah pekerja migran mesti terus menjadi teras tadbir urus migrasi global,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, Indonesia turut menekankan tiga perkara utama dalam Penjelasan Undi itu, iaitu sokongan penuh terhadap deklarasi, pengiktirafan bahawa setiap negara mempunyai realiti migrasi berbeza yang memerlukan pendekatan sama rata dan saling menghormati, serta kepentingan kerjasama antara negara asal, transit dan destinasi.

“Perbezaan realiti migrasi antara negara mengukuhkan lagi keperluan dialog dan kerjasama setara dalam tadbir urus migrasi global,” katanya.

Beliau berkata kerjasama lebih kukuh dan perkongsian praktikal antara negara penting bagi memastikan perlindungan pekerja migran dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan.

Katanya, kerajaan Indonesia menerusi KP2MI komited melaksanakan deklarasi itu bagi memperkukuh perlindungan terhadap lebih lima juta pekerja migran Indonesia yang bekerja di luar negara.

Forum IMRF 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 8 Mei lalu menghasilkan Deklarasi Kemajuan yang akan menjadi rujukan dasar global berkaitan tadbir urus migrasi sehingga 2030.