BAM ambil iktibar kempen Piala Thomas, fokus tingkat kualiti pemain

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Mei– Prestasi skuad badminton negara pada kempen Piala Thomas 2026 perlu dijadikan iktibar dan pedoman dalam usaha meningkatkan kualiti permainan bagi menghadapi kejohanan akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM tetap fokus misi jangka panjang; kegagalan suku akhir tidak menjejaskan roadmap dan keyakinan terhadap kebolehan pemain.
  • Disiplin pemain diberi keutamaan; aspek ini dianggap kritikal untuk memastikan fokus dan kejayaan di gelanggang.
  • BAM akan kembangkan Talent Identification, memberi peluang lebih kepada pemain muda dan muka baharu menerusi pencarian bakat menyeluruh.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh Chee Keong menegaskan, kegagalan di peringkat suku akhir bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya pasukan perlu bangkit dan terus berusaha memburu kelayakan pada edisi seterusnya.

“Kami yakin, walaupun berdepan kekalahan tersebut, ia tidak akan menjejaskan roadmap yang telah dirangka. Kami tetap percaya kepada kebolehan para pemain ketika beraksi di gelanggang,” jelasnya pada sidang media PERODUA Malaysia Masters 2026 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa aspek disiplin pemain akan terus diberi perhatian serius bagi memastikan mereka kekal fokus terhadap objektif utama iaitu meraih kemenangan.

“Disiplin merupakan kriteria yang diamalkan sejak sekian lama. Malah, Datuk Seri Lee Chong Wei sering mengingatkan tentang kepentingan faktor ini di dalam gelanggang, dan bagi kami, ia adalah perkara yang amat kritikal,” katanya.

Dalam pada itu, BAM menerusi jawatankuasa prestasi sedang mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak ruang kepada pemain muda dan muka baharu dalam kejohanan akan datang menerusi sistem pencarian bakat yang lebih efisien serta menyeluruh.

“Memandangkan kita mempunyai jadual kejohanan yang padat sepanjang tahun, setiap jurulatih akan memastikan proses pencarian bakat baharu di bawah sistem Talent Identification (TID) diperluas, khususnya di peringkat akar umbi bagi melahirkan pemain terbaik untuk negara,” tambah beliau.

Kemarau kejuaraan Piala Thomas selama 34 tahun terus berpanjangan selepas skuad negara tersingkir di peringkat suku akhir edisi kali ini susulan kekalahan 0-3 kepada China.

Malaysia kali terakhir menjulang trofi berprestij tersebut pada tahun 1992 di Kuala Lumpur.