Penyeludupan petrol guna motosikal tumpas, lelaki tempatan ditahan

Foto RTM

KANGAR, 6 Mei – Taktik seorang lelaki tempatan menggunakan motosikal untuk menyeleweng minyak petrol bersubsidi membawa padah apabila dia ditahan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis dalam Op Tiris 4.0 semalam (Selasa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Hasil risikan KPDN Perlis mendedahkan kegiatan penyeludupan petrol ke negara jiran melalui jeti LKIM Kuala Perlis.
  • Ditemui stor simpanan, 28 tong jerry can berisi cecair disyaki petrol dan sebuah motosikal digunakan untuk pengangkutan.
  • Sebanyak 840 liter petrol subsidi dirampas; suspek tiada permit, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, tangkapan berkenaan adalah hasil risikan pihak berkuasa terhadap aktiviti penyeludupan petrol yang dipercayai cuba dibawa keluar ke negara jiran melalui jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut membawa kepada penemuan sebuah stor simpanan yang dijadikan lokasi mengumpul bahan bakar berkenaan sebelum dijual.

“Hasil pemeriksaan lanjut di jeti berkenaan telah menemui sebanyak 28 tong jerry can yang berisi cecair yang disyaki sebagai minyak petrol bersama-sama dengan sebuah motosikal yang digunakan untuk mengangkut minyak ke lokasi berkenaan.

“Hasil semakan lanjut kita dapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang kebenaran, permit ataupun lesen untuk menyimpan barang kawalan yang diberikan oleh Pengawal Bekalan Malaysia”, katanya dalam satu sidang media di Pejabat KPDN disini hari ini.

Dalam serbuan tersebut, sebanyak 840 liter minyak petrol bersubsidi berjaya dirampas.

Siasatan awal mendapati aktiviti penyeludupan itu dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu bagi mengaut keuntungan mudah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.