
ALOR SETAR, 5 Mei – Polis Kedah menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen serta ugutan jenayah di sekitar Sungai Petani.
- Kegiatan ugutan: menyimbah cat dan membakar kenderaan mangsa yang gagal melunaskan pinjaman.
- Pelaksana diupah sebagai 'runner', diberi bayaran RM300 hingga RM600 setiap tugasan.
- Saringan awal menunjukkan semua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.
- Polis memburu dalang utama dipercayai bukan warga tempatan dan dua lagi suspek; kes disiasat mengikut akta berkaitan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kesemua suspek yang dikenali sebagai “Geng Atan” dipercayai aktif menjalankan kegiatan menyimbah cat dan membakar kenderaan mangsa yang gagal melunaskan pinjaman.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun pada 16 April lalu, memaklumkan kenderaannya yang diletakkan di hadapan rumah telah dibakar selepas gagal membayar pinjaman yang dibuat secara dalam talian.
“Bertindak atas maklumat, beberapa siri serbuan dijalankan bermula 26 April lalu dan seramai empat lelaki serta seorang wanita berusia antara 31 hingga 43 tahun berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di sini.
Hasil saringan awal mendapati kesemua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.
Siasatan lanjut mendapati mereka berperanan sebagai pelaksana yang diupah untuk menjalankan aktiviti jenayah seperti menghantar nota ugutan, menyimbah cat dan membakar kenderaan mangsa.
“Mereka ini bertindak sebagai ‘runner’ yang diupah dengan bayaran antara RM300 hingga RM600 bagi setiap tugasan, bergantung kepada jenis perbuatan seperti menyimbah cat atau membakar kenderaan.
“Kita sedang mengesan dalang utama kumpulan ini yang dipercayai bukan warga tempatan,” katanya.
Tambah beliau, polis kini giat memburu dua lagi individu yang dipercayai anggota kumpulan tersebut bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.