
BEIRUT, 6 Mei – Serangan Israel di lembah Bekaa timur Lubnan membunuh empat orang pada Rabu dengan tentera Israel mendakwa menyasarkan Hizbullah di selatan.
- Penduduk diberi amaran untuk berpindah sebelum serangan udara dan pengeboman artileri ke atas beberapa bandar.
- Israel dan Hizbullah melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 17 April.
- Tentera Israel berkata ia mula menyerang tapak infrastruktur pengganas Hizbullah di beberapa kawasan Lubnan.
- Hizbullah mengaku menyasarkan tentera dan kenderaan Israel, dan kata serangan itu tindak balas.
Serangan dilakukan selepas memberi amaran kepada penduduk untuk berpindah kerana akan melakukan serangan udara dan pengeboman artileri ke atas beberapa bandar.
Israel dan Hizbullah telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 17 April lalu.
Hizbullah mengaku bertanggungjawab atas beberapa operasi yang menyasarkan tentera Israel di selatan Lubnan serta serangan ke atas Israel utara.
“Serangan udara Israel ke atas bandar Zellaya, di wilayah Bekaa Barat, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang maut termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga emas,” kata Kementerian Kesihatan.
Media Lubnan berkata serangan itu membunuh datuk bandar berkenaan termasuk tiga ahli keluarganya setelah Israel mengebom kediaman mereka.
Tentera Israel kemudian menerusi kenyataan ringkas berkata bahawa ia telah “mula menyerang tapak infrastruktur pengganas Hizbullah di beberapa kawasan di Lubnan”.
Salah satu serangan melanda bandar Yohmor al-Shaqeef di daerah Nabatieh.
Hizbullah turut menyatakan telah menyasarkan tentera dan kenderaan Israel di beberapa bandar sempadan di selatan Lubnan.
“Serangan itu sebagai tindak balas kepada pelanggaran gencatan senjata musuh (Israel),” tegasnya.
Serangan Israel di Lubnan telah mengorbankan lebih 2,700 orang sejak 2 Mac lepas.-AFP