MADA saran pesawah manfaat musim hujan percepat penanaman padi

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh (gambar kiri)

ALOR SETAR, 5 Mei — Golongan pesawah dinasihatkan memanfaatkan musim hujan yang mula turun ketika ini untuk memulakan penanaman padi, menurut Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan rapi MADA: paras empangan utama rendah; Empangan Muda kritikal kurang 10 peratus.
  • Bekalan air pengairan bergantung kepada empangan, sungai, hujan dan kitar semula; empangan kira-kira 50 peratus.
  • Penanaman tertangguh kerana pesawah menunggu hujan walaupun penyediaan tanah melebihi 50 peratus; fasa tanaman dijangka bertindih.
  • MADA galak guna pam untuk tabur basah sementara menunggu pelepasan empangan; waspada El Nino Jun dan kemungkinan banjir hujung tahun.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata saranan itu dibuat meskipun pesawah ketika ini berdepan kelewatan penanaman akibat kekurangan bekalan air dan peningkatan kos operasi.

Menurut beliau, pihaknya kini memantau rapi keadaan pesawah yang terjejas susulan paras air di tiga empangan utama iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning masih belum mencukupi untuk pelepasan air bagi tujuan pengairan.

Beliau berkata bekalan air bagi pengairan sawah bergantung kepada empat sumber utama iaitu empangan, sungai, hujan dan kitar semula air, dengan kira-kira 50 peratus daripadanya bergantung kepada takungan empangan.

“Setakat 30 April lalu, hanya 790 milimeter (mm) jumlah taburan hujan direkodkan berbanding 1,545 mm pada tempoh sama tahun lepas.

“Keadaan itu menyebabkan paras keseluruhan empangan berada pada tahap rendah iaitu sekitar 39 peratus, manakala Empangan Muda kini berada pada tahap kritikal dengan simpanan kurang 10 peratus,” katanya ketika dihubungi RTM.

Menurut beliau, kelewatan penanaman berlaku apabila pesawah mengambil langkah berhati-hati dengan menunggu hujan mencukupi bagi mengurangkan risiko kerugian, walaupun kerja penyediaan tanah ketika ini telah melebihi 50 peratus.

“Aktiviti tanaman padi sedikit lambat tetapi apabila hujan mula turun, kita jangka aktiviti fasa satu, dua dan tiga akan bertindih. Fasa yang tertangguh sebelum ini akan dilaksanakan serentak dengan fasa seterusnya dan kita harap keseluruhan aktiviti penanaman dapat diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pesawah memanfaatkan hujan yang mula turun ketika ini selain menggunakan pam bagi kawasan berhampiran terusan untuk memulakan penanaman secara tabur basah sementara menunggu pelepasan air dari empangan.

Beliau turut mengingatkan pesawah agar tidak menangguhkan penanaman terlalu lama berikutan risiko fenomena El Nino yang dijangka bermula Jun ini, selain kemungkinan banjir hujung tahun yang boleh menjejaskan hasil tuaian.

Sementara itu, seorang pesawah dari Kuala Kedah, Mansor Hussein berkata petani sememangnya bersedia untuk memulakan penanaman, namun masih menunggu hujan dan bekalan air mencukupi sebelum turun ke sawah.

“Kami memang tunggu sangat nak mula buat bendang sebab padi musim lepas dah lama. Cuma sekarang kami tunggu hujan saja. Bila ada air, kami terus akan mula.

“Kalau ikut saranan MADA, mereka cadangkan tabur kering, tetapi kami masih belum biasa dengan kaedah itu sebab tak pernah buat sebelum ini. Petani masih belum berani ambil risiko dalam keadaan sekarang,” katanya.