PM umum insentif pembajakan, pendahuluan RM200 sehektar

Datuk Seri Anwar Ibrahim /RTM

PUTRAJAYA, 5 Mei- Kerajaan meluluskan bayaran pendahuluan sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah padi berdaftar sebagai insentif pembajakan bagi memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insentif pembajakan dinaikkan dari RM160 kepada RM300 sehektar sebagai bantuan susulan kenaikan harga diesel komersial.
  • Bayaran pendahuluan mengambil kira keperluan modal awal termasuk kos menyewa jentera untuk kerja pembajakan.
  • Inisiatif melibatkan implikasi kewangan RM48 juta dan dijangka memanfaatkan kira-kira 240,000 pesawah berdaftar.
  • Operasi pembenihan awan dipercepat; TUDM dan JBPM digerakkan untuk memastikan bekalan air sawah mencukupi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan merupakan sebahagian daripada bantuan khas yang telah dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar sebelum ini.

Menurut beliau, bayaran pendahuluan berkenaan mengambil kira keperluan pesawah yang memerlukan modal awal termasuk kos menyewa jentera untuk kerja pembajakan.

“Keluhan pesawah padi telah didengar. Kerajaan telah menambah bantuan khas insentif pembajakan pada 14 April lalu yang diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi membantu pesawah susulan kenaikan harga diesel komersial,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Harian Krisis Bekalan Global, di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta yang diluluskan minggu ini dan dijangka memanfaatkan kira-kira 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut mempercepat pelaksanaan operasi pembenihan awan bagi menangani kekurangan air susulan kemarau panjang khususnya di utara Semenanjung.

Katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mempergiat operasi di kawasan terjejas dengan sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan bekalan air pertanian, terutama untuk sawah padi, terus mencukupi.