Johor berjaya siapkan sebahagian besar projek infrastruktur lewat

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh

ISKANDAR PUTERI, 5 Mei -Sebahagian besar projek infrastruktur yang mengalami kelewatan di Johor berjaya dipulihkan, hasil intervensi dan tindakan pemulihan berfasa bagi tempoh 2022 hingga 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • 51 daripada 200 projek persekutuan dan 20 daripada 124 projek negeri dikenal pasti mengalami kelewatan.
  • Beberapa projek siap berfasa termasuk FT001 KM38–40 (Johor Bahru–Air Hitam), laluan baru Kampung Rahmat, dan naik taraf Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya.
  • Pihak berkuasa ambil tindakan tegas: tamat kontrak kontraktor gagal, tender semula dan kenakan denda LAD.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, daripada 200 projek peringkat persekutuan, 51 projek dikenal pasti mengalami kelewatan daripada jadual yang ditetapkan.

Manakala di peringkat negeri, 20 daripada 124 projek turut mengalami status yang sama.

Antara projek yang berjaya dipulihkan dan disiapkan secara berfasa termasuk projek memperelok jajaran di Laluan FT001 Johor Bahru ke Air Hitam, Kilometer 38 hingga Kilometer 40 di Kulai pada tahun 2023, serta projek pembinaan laluan baharu merentasi Jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading di Batu Pahat pada tahun 2024.

“Pada tahun 2025, projek menaik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sepanjang 2.2 kilometer telah berjaya disiapkan.

“Manakala bagi tahun 2026, beberapa projek sakit yang sebelum ini telah ditamatkan kini berada di peringkat akhir pelaksanaan dan telah serta akan berjaya disiapkan oleh kontraktor penyelamat, antaranya pembinaan jambatan konkrit di Jalan Gelang Patah–Pendas, projek penggantian jambatan Kampung Sawah di Pontian, serta projek penggantian jambatan FT001/080/80 di Sungai Machap, Kluang,” katanya kepada pemberita, di sini.

Katanya, projek menaik taraf jalan dan pembinaan jambatan di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang, Johor Bahru juga masih dalam pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan.

Pihaknya mengambil pendekatan tegas dan berstruktur termasuk menamatkan kontrak kontraktor yang gagal, melaksanakan tender semula serta mengenakan denda Liquidated Ascertained Damages (LAD).