Mayat wanita 19 tahun dengan 61 kesan tikaman di Ketereh

Mangsa memakai rantai leher berukir nama “Syaa”

KOTA BHARU, 1 Mei – Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat seorang wanita dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, sebagai kes bunuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan orang awam diterima kira-kira pukul 12.30 tengah malam mengenai penemuan mayat.
  • Pemeriksaan forensik mendapati kecederaan dari muka hingga kaki, kebanyakan di sebelah kanan badan.
  • Polis percaya mayat dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di kawasan sawah padi yang gelap.
  • Mayat dihantar ke Jabatan Forensik HRPZ II untuk bedah siasat; identiti disahkan melalui semakan cap jari JPN.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi di atas jalan di kampung berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati terdapat 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa dari bahagian muka hingga ke kaki, dengan kebanyakan kecederaan tertumpu di bahagian kanan badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, lokasi kejadian merupakan kawasan sawah padi yang gelap tanpa pencahayaan lampu jalan dan terletak kira-kira 47 meter dari rumah penduduk terdekat.

Mangsa, seorang wanita berusia 19 tahun yang berasal dari Perak, ditemui memakai baju lengan panjang hitam dan seluar panjang hitam.

Pemerhatian di lokasi turut mendapati mangsa memakai rantai leher berukir nama “Syaa”, seutas rantai tangan di pergelangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.

Selain itu, beberapa barangan lain turut ditemui berhampiran lokasi kejadian, antaranya manik berwarna-warni, cermin mata putih dan sehelai selendang.

Beliau berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum identitinya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Tambah beliau, Unit K9 turut digerakkan bagi membantu operasi pengesanan di sekitar lokasi dalam radius kira-kira 30 meter.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi ASP Ganesan di talian 012-5691204.