
JOHOR BAHRU, 30 April – Pasukan ragbi Johor tampil dengan kekuatan baharu menjelang Kejohanan Ragbi Piala Agong 2026 apabila membawa masuk empat pemain import dari New Zealand dan Fiji, sekali gus memperkukuh misi besar memburu kejuaraan.
- Johor Tigers kini tampil dengan identiti baharu dan berhasrat mendominasi saingan musim ini.
- Tim Nanai-Williams dari New Zealand tumpuan utama kerana pengalaman Piala Dunia 2015 dan 2019.
- Presiden Persatuan Ragbi Negeri Johor yakin pemain import meningkatkan mutu permainan dan daya saing pasukan.
- Persiapan bermula hujung tahun lalu, sertai Singapore League untuk bina pasukan dan pilih 40 pemain terbaik.
Strategi itu dilihat sebagai suntikan besar buat skuad berwajah baharu yang kini tampil dengan identiti Johor Tigers dalam memperkukuh sasaran pasukan untuk mendominasi saingan musim ini.
Antara tumpuan sudah tentu terarah kepada pemain import dari New Zealand, Tim Nanai-Williams, yang pernah beraksi di Piala Dunia Ragbi 2015 dan 2019.
Presiden Persatuan Ragbi Negeri Johor, Datuk Mohd Norazam Osman, berkata kehadiran pemain import berkenaan diyakini mampu meningkatkan tahap permainan pasukan selain memberi kelebihan dari segi pengalaman dan daya saing.
Menurutnya, persiapan Johor sudah bermula sejak hujung tahun lalu, termasuk menyertai Singapore League sebagai platform membina pasukan serta menilai barisan terbaik untuk disenaraikan.
“Persiapan kita telah jalankan bermula hujung tahun lepas lagi dan kita telah masuk ke Singapore League untuk persiapkan pasukan, bukan sahaja dari segi pembangunan tetapi juga untuk memilih 40 pemain terbaik yang disenaraikan dalam senarai panjang,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan yang kini dibimbing bekas kapten All Blacks, Rodney So’oialo, turut menampilkan beberapa pembaharuan musim ini termasuk dari aspek latihan dan sistem permainan.
Rodney berkata, kekalahan tipis 17-18 kepada PDRM pada final musim lalu menjadi pengajaran besar buat pasukannya untuk memperbaiki kelemahan menjelang kempen kali ini.
“Kami belajar banyak daripada final musim lalu dan kami terapkan dalam latihan sekarang supaya tidak mengulangi kesilapan sama. Kami ada skuad yang baik, pemain-pemain juga sangat bersemangat dan matlamat kami jelas iaitu memenangi Piala Agong,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Pelancaran Pasukan Johor Piala Agong 2026, di sini.
Johor Tigers akan memulakan kempen Kumpulan B dengan menentang Putrajaya pada 9 Mei ini.