
KUALA LUMPUR, 29 April – Mangsa keganasan rumah tangga digesa supaya berani tampil melaporkan kejadian yang dialami demi mendapatkan perlindungan serta menegakkan hak mereka.
- KPWKM menyediakan rumah perlindungan dan sistem sokongan lengkap untuk menjamin keselamatan mangsa.
- Gunakan Talian Kasih 15999 untuk bantuan; panggilan akan dirujuk kepada pihak berkaitan.
- Mangsa yang menarik balik aduan kerana takut, ugutan atau kekurangan sumber menyukarkan usaha perlindungan.
- Trend keganasan rumah tangga meningkat dan memerlukan tindakan segera serta sokongan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu dilihat penting dalam memperkasakan wanita untuk bersuara menentang ketidakadilan, sekali gus memastikan keselamatan dan kesejahteraan diri terus terpelihara.
“Kita mahu membantu mereka, tetapi ada yang telah membuat laporan kemudian menarik semula kes tersebut. Perkara ini agak mengecewakan.
“Saya ingin menyeru kepada wanita yang menjadi mangsa agar tampil mendapatkan bantuan. Kita menyediakan tempat perlindungan dan akan membantu sebaik mungkin.
“Sekiranya sukar untuk berhubung, hubungi talian 15999 yang disediakan oleh kementerian, dan panggilan tersebut akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk mengendalikan kes mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Sidang Media Khas Isu keganasan Rumah Tangga di ibu negara.
Pada masa sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut menyediakan sistem sokongan lengkap termasuk rumah perlindungan bagi menjamin keselamatan mangsa.
Tindakan mangsa yang membatalkan aduan kerana faktor ketakutan atau desakan keluarga hanya menyukarkan usaha KPWKM untuk memberikan perlindungan sewajarnya.
“Antara faktor mangsa menarik balik kes adalah kerana mereka takut kehilangan tempat berlindung, selain bimbang diugut. Ada juga yang tidak mempunyai pekerjaan dan tiada tempat untuk membawa diri, apatah lagi perlu memikirkan anak-anak.
“Keadaan ini merupakan antara sebab utama yang telah lama dikenal pasti sebagai punca mangsa menarik semula laporan kes,” katanya lagi.
Dalam pada itu Datuk Seri Nancy turut memaklumkan bahawa trend keganasan rumah tangga menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila sebanyak 7,391 kes dilaporkan bagi tahun 2025 setakat ini, berbanding 7,116 kes pada tahun 2024, dan 5,507 pada tahun 2023.
Mangsa atau orang awam yang memerlukan bantuan dinasihatkan menghubungi Talian Kasih 15999, atau merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.