
BANGI, 28 April – Impak kewangan kemalangan pekerjaan global berada pada tahap yang membimbangkan.
- Pampasan PERKESO sekitar RM1 bilion setahun menunjukkan beban kewangan besar akibat kemalangan di tempat kerja.
- Kos kemalangan menjejaskan bukan sahaja pekerja tetapi juga operasi dan ekonomi organisasi.
- Kesedaran rendah pekerja dan majikan adalah cabaran utama; program Medivest Safety Passport diperkenalkan untuk tingkatkan pengetahuan keselamatan.
Di Malaysia, jumlah pampasan yang dibayar sebanyak kira-kira RM1 bilion setiap tahun menunjukkan beban kewangan yang besar akibat kemalangan pekerjaan.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen berkata, kos kemalangan pekerjaan bukan sahaja memberi kesan kepada pekerja, malah turut menjejaskan operasi dan ekonomi sesebuah organisasi.
“Kos kemalangan ini amatlah besar kerana kalau kita mengikut apa yang dianggarkan oleh International Labour Organization ia merupakan sebanyak 4% daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia.
“Dan bayaran pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terhadap pekerjaan sakit, pekerjaan cedera, semua ini pampasan RM1 billion, satu tahun,” katanya selepas melancarkan program ‘Medivest Safety Passport’ di Menara NIOSH, di sini pada Selasa.
Pada masa sama, beliau menegaskan masih terdapat pihak yang menganggap aspek keselamatan sebagai beban kos berbanding satu keperluan penting.
Beliau menjelaskan bahawa faktor utama yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan pekerja dan majikan.
“Cabarannya yang terbesar adalah kesedaran. Saya rasa kebanyakan orang, rasa kemalangan tak akan berlaku. Itulah cabaran kita,” katanya.
Beliau berharap agar lebih banyak pihak tampil mengutamakan keselamatan pekerja bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kerugian dalam jangka masa yang panjang.
Dalam pada itu, pelancaran program NIOSH, Medivest Safety Passport dilihat sebagai langkah memperkukuh pengetahuan asas keselamatan dalam kalangan pekerja, khususnya dalam sektor pengurusan fasiliti kesihatan.