EU dakwa Rusia wujudkan ‘tirai besi digital’ ke atas rakyatnya

Foto Reuters

STRASBOURG, 29 April – Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, mendakwa Kremlin menyekat akses internet rakyat Rusia bagi menyembunyikan kesan kemerosotan ekonomi susulan sekatan berkaitan perang Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi dan kenaikan kadar faedah membebankan rakyat Rusia.
  • Pihak berkuasa memperhebat kawalan internet, melambatkan Telegram dan WhatsApp, mengetatkan VPN serta menggangu rangkaian termasuk di Moscow.
  • Kawalan ini mencetuskan ketidakpuasan awam, di tengah kawalan ketat terhadap kebebasan bersuara sejak konflik.
  • EU meluluskan pinjaman besar kepada Ukraine dan mengenakan pakej sekatan baru terhadap Moscow; kelemahan ekonomi Rusia semakin nyata.

Menurut beliau, peningkatan inflasi dan kadar faedah menyebabkan beban ekonomi semakin dirasai rakyat.

“Keadaan ini menyebabkan Kremlin bertindak menyekat internet dan komunikasi bebas,” katanya kepada ahli Parlimen EU di Strasbourg.

Von der Leyen berkata rakyat Rusia kini seolah-olah hidup di sebalik “Tirai Besi” sekali lagi, namun kali ini dalam bentuk digital.

“Jika sejarah mengajar kita sesuatu, semua tembok akhirnya akan runtuh,” tambahnya.

Pihak berkuasa Rusia dilaporkan memperhebat usaha mengawal akses internet dengan memperlahankan aplikasi seperti Telegram dan WhatsApp, mengetatkan sekatan terhadap VPN serta melaksanakan gangguan rangkaian, termasuk di Moscow.

Langkah tersebut, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, di tengah-tengah kawalan ketat terhadap kebebasan bersuara sejak konflik Ukraine.

Sejak melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine, Rusia memperketat undang-undang terhadap penentangan awam, termasuk melarang kritikan terhadap kerajaan dan tentera.

Dalam perkembangan sama, Kesatuan Eropah (EU) meluluskan pinjaman besar kepada Ukraine serta mengenakan pakej sekatan baharu terhadap Moscow yang ke-20 sejak 2022.

Walaupun ekonomi Rusia masih bertahan, pegawai EU menegaskan tanda-tanda kelemahan semakin jelas. – AFP