
JITRA, 25 April – Budaya penyelidikan dalam kalangan guru terus diperkasa apabila 29 pembentang dari Perlis tampil berkongsi 35 hasil kajian tindakan menerusi Program Pembentangan Inovasi dan Kajian Tindakan Professional Learning Community (PLC).
- Memperkasa budaya penyelidikan dan amalan PLC sebagai pemangkin kecemerlangan pendidikan.
- Menyediakan medan perkongsian inovasi dan amalan terbaik untuk memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran.
- Meningkatkan keyakinan guru membentangkan hasil secara profesional serta menyemai budaya refleksi kendiri dan penambahbaikan berterusan.
- Mendokumentasikan hasil kajian untuk dijadikan rujukan, penerbitan ilmiah dan perkongsian di peringkat lebih meluas.
Program itu menjadi medan penting untuk guru mengetengahkan inovasi serta amalan terbaik yang dibangunkan di sekolah masing-masing, sekali gus memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasa amalan PLC sebagai pemangkin kecemerlangan pendidikan.
“Program ini bukan sahaja memperkukuh budaya penyelidikan dalam kalangan guru, malah membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik yang boleh diperluaskan ke peringkat lebih tinggi.
“Kita mahu dapatan kajian ini memberi impak bukan sekadar di sekolah, tetapi turut berkembang sebagai rujukan kepada komuniti pendidikan yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Institut Aminuddin Baki, di sini.
Dalam masa sama, program tersebut turut membina keyakinan guru untuk membentangkan hasil kerja secara profesional, selain menyemai budaya refleksi kendiri dan penambahbaikan berterusan dalam amalan pengajaran.
Hasil kajian tindakan dan inovasi yang dihasilkan juga akan didokumentasikan serta berpotensi diketengahkan sebagai bahan rujukan, penerbitan ilmiah dan perkongsian di peringkat lebih meluas.