Pelaksanaan AKF seiring dengan keperluan pasaran buruh

Foto Facebook Kementerian Sumber Manusia

KUALA LUMPUR, 25 April – Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang merangkumi model kerja hibrid, waktu kerja anjal serta susunan kerja fleksibel berupaya memperkukuh kecekapan operasi organisasi di samping meningkatkan kesejahteraan pekerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan AKF mesti dilakukan secara tersusun, berfasa dan berasaskan garis panduan jelas oleh sektor swasta.
  • Pekerja berhak memohon pengaturan kerja fleksibel menurut Akta Kerja Seksyen 60P, 60Q dan Ordinan Buruh Sabah serta Sarawak; majikan wajib maklum balas bertulis.
  • Dapatan TalentCorp menunjukkan AKF meningkatkan produktiviti, kepuasan dan penglibatan pekerja serta mengurangkan kadar keluar masuk tenaga kerja.
  • KESUMA menegaskan AKF tidak boleh dijadikan alasan pengurangan gaji atau faedah; majikan digalakkan tingkat kesiapsiagaan digital pekerja.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan, AKF dilihat sebagai pendekatan ini selari dengan keperluan pasaran buruh yang semakin dinamik dan memerlukan model kerja yang lebih adaptif, responsif serta berteraskan produktiviti.

“KESUMA menegaskan bahawa pelaksanaan AKF oleh sektor swasta perlu dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berasaskan garis panduan yang jelas.

“Selaras dengan peruntukan Akta Kerja 1955 (Seksyen 60P dan 60Q) serta peruntukan yang setara di bawah Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak yang memberi hak kepada pekerja untuk memohon pengaturan kerja fleksibel serta mewajibkan majikan memberikan maklum balas bertulis dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menyambut baik seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri agar sektor swasta mempertimbangkan pelaksanaan AKF sebagai langkah strategik untuk mendepani cabaran ekonomi semasa, termasuk kesan krisis bekalan global.

Menerusi hasil dapatan terkini TalentCorp melalui pelaksanaan inisiatif AKF sejak 2021 hingga kini menunjukkan lebih 5,340 organisasi telah melaksanakan AKF, memberi manfaat kepada lebih 1.6 juta pekerja.

“62 peratus majikan melaporkan peningkatan produktiviti apabila AKF dilaksanakan secara berstruktur. 70 peratus pekerja mencatatkan peningkatan kepuasan kerja hasil fleksibiliti masa dan lokasi.

“Lebih 90 peratus organisasi melaporkan peningkatan penglibatan pekerja serta penurunan kadar keluar masuk (tumover) pekerja antara 15 peratus hingga 20 peratus,” tambah kenyataan itu.

Dapatan berkenaan sekali gus membuktikan bahawa pelaksanaan AKF bukan sahaja menyokong kesinambungan operasi organisasi dalam situasi mencabar, malah berupaya meningkatkan produktiviti, memperkukuh keseimbangan kehidupan bekerja serta menyumbang kepada pengekalan bakat dalam pasaran buruh negara.

Dalam pada itu, KESUMA menyifatkan pelaksanaan AKF tidak boleh dijadikan alasan untuk sebarang pengurangan gaji atau faedah pekerja, kecuali terdapat persetujuan baharu yang melibatkan perubahan keseluruhan waktu kerja.

“Jaminan ini penting bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja terus dilindungi serta memberi keyakinan kepada tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dengan pengaturan kerja yang lebih fleksibel.

“KESUMA turut menggalakkan majikan, khususnya sektor swasta, untuk memperkukuh kesiapsiagaan digital pekerja bagi menyokong pelaksanaan AKF secara berkesan dalam persekitaran fleksibel, mengikut kesesuaian operasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.