Penyelewengan dana sumbangan bukan cerminan keseluruhan sistem

Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) / BERNAMA

BATU CAVES, 24 April– Isu penyelewengan dana sumbangan awam yang berlaku baru-baru ini disifatkan sebagai kes terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan sistem pengurusan zakat di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan menyeluruh akan dilaksanakan terhadap isu penyelewengan dana.
  • Segala kesalahan termasuk pecah amanah dan salah guna kuasa dikenakan tindakan undang-undang tanpa pengecualian.
  • Banyak majlis agama dan pusat zakat memiliki tatakelola baik, audit bersih serta menerima anugerah dan pujian.
  • Modul "Fiqh Autism" dibangunkan dalam Pelan OKU Muslim untuk memastikan akses ilmu agama bagi kanak-kanak autisme.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, siasatan menyeluruh tetap akan dilaksanakan.

Menurut beliau, sebarang kesalahan termasuk pecah amanah atau salah guna kuasa akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa pengecualian.

“Kes sebegini tidak menggambarkan keseluruhan kerana banyak majlis agama Islam dan pusat zakat berada pada tahap sangat baik.

Kita lihat ada yang menerima pelbagai anugerah termasuk tatakelola dan audit bersih serta pujian daripada Ketua Audit Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas penahanan melibatkan salah laku dana awam membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, keyakinan terhadap sistem zakat negara kekal kukuh berdasarkan pencapaian tadbir urus serta pengurusan kewangan yang diiktiraf.

Terdahulu, beliau menyantuni 37 kanak-kanak autisme di Yayasan Pendidikan Insani, di sini.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya sedang membangunkan modul “Fiqh Autism” sebagai sebahagian daripada Pelan OKU Muslim.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan anak-anak autisme mendapat akses kepada ilmu agama, selain meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap keperluan mereka dalam konteks ibadah,” katanya.