
SHAH ALAM, 24 April – Hampir 80,000 permohonan kemasukan murid tahun satu pada usia enam tahun dijangka diterima bagi sekolah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tahun depan.
- JAIS melaksanakan dasar kemasukan darjah satu pada usia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027.
- Persediaan termasuk menambah guru dan menaik taraf infrastruktur sekolah terutama bilik darjah bagi memastikan keselesaan pelajar.
- Perancangan kapasiti bilik darjah, pengoptimuman penggunaan, penyelarasan data murid dan pengesanan kawasan penduduk padat termasuk penambahan tiga sesi.
- Kerajaan negeri memantau keselamatan bangunan sekolah dan memperuntukkan RM4 juta bagi menaik taraf fasiliti Sekolah Agama Rakyat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persediaan yang dilakukan termasuk menambah bilangan guru, serta menaik taraf infrastruktur sekolah terutama bilik darjah bagi memastikan keselesaan pelajar.
“Kerajaan Negeri Selangor melalui JAIS membuat ketentuan untuk mengikut dasar kemasukan murid tahun satu seawal usia enam tahun yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan bagi sesi persekolahan 2027.
“Persiapan yang dilakukan meliputi perancangan kapasiti bilik darjah dengan mengesan dan mengoptimum penggunaan bilik darjah, menyelaras data murid, mengesan kawasan yang mempunyai penduduk padat, serta menambah dan mewujudkan tiga sesi persekolahan daripada dua sesi,” katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.
Dalam pada itu Datuk Seri Amirudin memberi jaminan, keselamatan semua bangunan sekolah bawah JAIS sentiasa dipantau dan bantuan akan disalurkan sekiranya diperlukan.
Kerajaan negeri turut menyediakan tambahan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi memenuhi keperluan sekolah agama JAIS.
Peruntukan itu diumumkan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bagi memperkasa serta menaik taraf fasiliti Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh Selangor.