Teknologi AI perkukuh pengurusan bencana, Malaysia jadi rujukan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 April – Kemunculan Malaysia sebagai model global dalam pengurusan bencana bukan sahaja didorong kecekapan pasukan tindak balas, malah penggunaan teknologi terkini yang serba canggih.

RINGKASAN BERITA AI
  • NADMA guna AI untuk menganalisis data bencana dari MetMalaysia, JPS, APM dan JKM bagi memperoleh dapatan tepat dengan pantas.
  • Delegasi Timor-Leste puji sistem pengurusan bencana Malaysia sebagai antara yang terbaik di rantau kerana pemodenan peralatan dan teknologi.
  • Resilient Asia 2026 dianjurkan NADMA di WTCKL selama tiga hari mengumpulkan pakar dan agensi serantau untuk berkongsi pengalaman.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Abdul Gapar Abu Bakar berkata, ini termasuk mengintegrasikan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menganalisis data berkaitan bencana secara lebih cekap.

“Kita menggunakan AI untuk menganalisis data yang diterima daripada pelbagai pihak berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Melalui analisis data daripada agensi di lapangan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita mampu memperoleh dapatan yang tepat dalam tempoh masa yang singkat untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau temui pada sesi lawatan berpandu kepada delegasi tempatan dan asing serta petugas media yang terlibat dalam Forum dan Pameran Resilient Asia 2026 di sini.

Program itu menghimpunkan pelbagai pihak berkaitan pengurusan bencana dari seluruh Asia untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman.

Salah seorang delegasi dari Timor-Leste, Nilton Saad, memuji sistem pengurusan bencana Malaysia dengan menyifatkannya sebagai antara yang terbaik di rantau ini.

“Malaysia mempunyai peranan yang sangat penting kerana telah memodenkan peralatan dan teknologi terhadap tindak balas kepada pengurusan bencana, khususnya bencana semula jadi,”katanya.

Resilient Asia 2026 yang julung kali dianjurkan NADMA berlangsung selama tiga hari mulai hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.