
KUALA LUMPUR, 24 April – Program Biodiesel Negara sedang diperluaskan secara berperingkat kepada B20.
- Rantaian bekalan sedia ada melibatkan 19 loji biodiesel berlesen dan 34 depot pengadunan di seluruh negara, menyokong pengeluaran PME.
- Pengeluaran biodiesel memenuhi standard kualiti antarabangsa, mencerminkan kesiapsiagaan industri, infrastruktur dan rantaian bekalan domestik.
- Kerajaan menggalakkan penggunaan bahan mentah generasi kedua seperti minyak keladak dan minyak masak terpakai untuk biobahan api termasuk bahan api penerbangan mampan.
- KPK menyemak semula Dasar Biobahan Api selaras komitmen sifar bersih 2050 untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan daya saing; libat urus berkepentingan diteruskan.
Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), pelaksanaan itu disokong secara mampan oleh ketersediaan rantaian bekalan sedia ada yang melibatkan 19 loji pengeluaran biodiesel berlesen yang membekalkan ‘palm methyl ester’ (PME) kepada 34 depot pengadunan di seluruh negara.
“Keupayaan loji pengeluaran biodiesel negara untuk menghasilkan biodiesel yang memenuhi standard kualiti antarabangsa mencerminkan tahap kesiapsiagaan industri, infrastruktur serta rantaian bekalan domestik.
“Keadaan ini mengukuhkan keyakinan bahawa Malaysia bersedia untuk melaksanakan peralihan kepada adunan biodiesel B20, selaras dengan aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030,” menurut KPK dalam kenyataan hari ini.
Selain menggunakan minyak sawit mentah (MSM) sebagai bahan mentah bagi penghasilan biodiesel, kerajaan juga menggalakkan penggunaan bahan mentah generasi kedua seperti minyak keladak dan minyak masak terpakai bagi penghasilan biobahan api, seperti bahan api penerbangan mampan.
Dalam konteks Malaysia, penghasilan biobahan api generasi kedua tertumpu kepada memenuhi pasaran eksport memandangkan permintaan antarabangsa yang tinggi terhadap bahan api rendah karbon serta keperluan pematuhan standard kemampanan global.
KPK juga sedang memperhalus dan menyemak semula Dasar Biobahan Api Negara selaras dengan hala tuju peralihan tenaga dan komitmen sifar bersih menjelang 2050.
“Langkah strategik ini bertujuan memperkukuh jaminan keselamatan tenaga negara melalui pemanfaatan sumber biojisim dan ekonomi kitaran, sekali gus memastikan produk biobahan api Malaysia kekal kompetitif serta memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa dalam mendepani cabaran perubahan iklim,” tambah kementerian itu.
KPK akan terus memperkukuh kerjasama strategik melalui sesi libat urus berterusan bersama-sama semua pihak berkepentingan dan peserta industri bagi memastikan setiap dasar yang digubal berpaksikan kepada analisa menyeluruh.