
KUALA LUMPUR, 22 April – Sambutan luar biasa peminat terhadap konsert kumpulan rock legenda Avenged Sevenfold di Malaysia terbukti apabila tiket konsert tersebut habis dijual dalam tempoh kurang 24 jam selepas dibuka kepada umum.
- Konsert 'Avenged Sevenfold Live in Malaysia' anjuran Hitman Group dijadual 26 September di Unifi Arena.
- Pra-jualan artis bermula 7 April, jualan umum 8 April; harga tiket antara RM299 hingga RM699.
- Penganjur dan CEO Rohit Rampal berkata sambutan luar biasa mengukuhkan jangkaan konsert sebagai acara rock paling dinanti, dengan ribuan peminat.
Konsert bertajuk Avenged Sevenfold Live in Malaysia anjuran Hitman Group itu dijadual berlangsung pada 26 September ini di Unifi Arena.
Penganjur sebelum ini membuka jualan tiket secara pra-jualan artis pada 7 April jam 11 pagi, sebelum jualan umum dibuka pada 8 April jam 12 tengah hari, dengan harga antara RM299 hingga RM699.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata pencapaian tersebut membuktikan betapa kuatnya permintaan peminat terhadap kepulangan kumpulan itu ke Malaysia.
“Kami menerima respons yang luar biasa daripada peminat sejak pengumuman dibuat. Jualan tiket habis dalam masa singkat ini menunjukkan betapa Avenged Sevenfold masih mempunyai pengaruh besar dan peminat setia di Malaysia,” katanya.
Sambutan hangat itu turut mengukuhkan jangkaan bahawa konsert berkenaan bakal menjadi antara acara muzik rock paling dinanti tahun ini, dengan ribuan peminat “Deathbats” dijangka memenuhi arena bagi menyaksikan persembahan penuh bertenaga kumpulan berkenaan.