
SANDAKAN, 22 April- Kerajaan Persekutuan hari ini mengumumkan sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 kepada keluarga yang terjejas akibat tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, di sini.
- Bantuan diselaraskan serta diagihkan melalui ICU di Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
- Kementerian Pendidikan salurkan RM300 kepada 454 murid terjejas, beri keutamaan, kelonggaran uniform dan bantuan pengangkutan.
- Kerajaan puji kepantasan negeri, pejabat daerah, agensi dan NGO; fokus berterusan pada kebajikan termasuk mereka yang belum mendaftar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan bagi sumbangan kewangan tersebut akan diselaraskan serta diagihkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Masalah ini sangat besar kalau bencana dari segi kebakaran dalam sejarah negara kita. Sebab itu saya turun sendiri untuk beri semangat dan dorongan dan untuk bincang dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) mengenai langkah-langkah yang harus diambil.
“Tetapi kita tahu ini bukan penyelesaian, ini hanya beberapa langkah sementara dan saya mahu sumbangan itu disampaikan segera. Saya tidak mahu tertangguh sebab keluarga itu harus mendapat jaminan (bantuan),” kata beliau kepada pemberita, di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar ditemui selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, di sini, dan melawat lokasi kejadian kebakaran.
Turut serta, Hajiji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air itu telah memusnahkan kira-kira 1,000 rumah melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar berkata Kementerian Pendidikan bersetuju menyalurkan bantuan segera sebanyak RM300 kepada 454 murid warganegara dari 12 sekolah sekitar Sandakan yang terjejas dengan kejadian kebakaran tersebut bagi membolehkan mereka mendapatkan pakaian seragam, buku serta keperluan persekolahan lain.
Perdana Menteri berkata mereka juga diberi keutamaan untuk kembali ke sekolah dengan segera, termasuk kelonggaran sementara untuk tidak memakai uniform, selain bantuan pengangkutan dari PPS ke sekolah, sekiranya diperlukan.
“Anak-anak sekolah yang saya tanya sebab apa tidak pergi sekolah? Mereka kata uniform tidak ada… Bagi setiap anak rakyat Malaysia, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan tambah RM300 supaya uniform, buku dan semuanya boleh dibeli dengan kadar segera.
“Saya tidak mahu (mangsa) menampung banyak beban dan anak-anak ini tidak diketepikan dari segi kemudahan persekolahan mereka,” kata beliau.
Selain itu, Datuk Seri Anwar turut memuji kepantasan kerajaan negeri, pejabat daerah, agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan dalam menyelaraskan segera bantuan makanan, pakaian dan penempatan sementara kepada mangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan semua mangsa yang terkesan atas dasar kemanusiaan, termasuk mereka yang belum mendaftar.
“Saya juga difahamkan bahawa ada sebahagian besar juga yang tidak mendaftar kerana kebimbangan mereka diambil tindakan. Saya ingin beri jaminan bahawa setakat ini kita jaga keselamatan dan kebajikan mereka,” kata beliau. -BERNAMA