
SAUDARA PENGARANG
- Perubahan iklim nyata di Malaysia: Banjir, gelombang haba, jerebu dan pola hujan berubah, menjejaskan kesihatan dan hasil pertanian.
- Tenaga boleh diperbaharui berkembang, menjana pekerjaan dan peluang ekonomi; tetapi pergantungan kepada bahan api fosil melambatkan peralihan.
- Tindakan kecil dan kolektif penting: Penjimatan tenaga, pengangkutan bersama, sokong dasar hijau untuk mencapai impak besar.
Tahun ini, dunia menyambut Hari Bumi lagi pada 22 April bagi kali ke-56, satu pergerakan global yang bermula dengan idea mudah tetapi besar.
Tema tahun ini, “Kuasa Kita, Planet Kita,” lebih daripada sekadar slogan, malah ia adalah peringatan bahawa krisis iklim bukan lagi ancaman yang jauh. Ia terbukti berlaku, tetapi yang penting, ia masih dalam kawalan kita.
Haba lautan global mencapai paras tertinggi selama sembilan tahun berturut-turut sehingga 2025 merupakan petunjuk nyata bahawa planet ini menyerap tahap haba yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Lebih membuka mata, analisis baru-baru ini mendapati bahawa 1% penduduk terkaya global menggunakan keseluruhan bajet karbon tahunan mereka dalam masa 10 hari sahaja. Justeru, perubahan iklim bukan sahaja isu alam sekitar, tetapi ia juga mengenai tanggungjawab dan tindakan.
Bagi rakyat Malaysia, perubahan iklim datang dalam bentuk banjir kilat di Lembah Klang, gelombang haba yang berpanjangan, episod jerebu, dan corak hujan yang berubah-ubah yang menjejaskan hasil pertanian.
Data nasional terkini menyerlahkan trend membimbangkan dalam banjir dan pelepasan gas rumah hijau, menandakan peningkatan isu alam sekitar.
Dalam Indeks Prestasi Perubahan Iklim 2026, negara ini berada di kedudukan ke-49 di seluruh dunia, masih diklasifikasikan dalam kalangan “berprestasi rendah,” terutamanya disebabkan oleh pergantungan berat kepada bahan api fosil.
Namun terdapat juga kemajuan di mana Malaysia komited untuk mencapai 31% tenaga boleh diperbaharui dalam campuran penjanaan kuasanya menjelang 2025 dan menyasarkan untuk mengurangkan ketumpatan karbon sebanyak 45% menjelang 2030 berbanding tahap 2005.
Ini bukan sasaran kecil tetapi ia menandakan peralihan negara ke arah ekonomi yang lebih hijau.
Di peringkat global, peralihan tenaga semakin pantas. Pada tahun 2025, kita menyaksikan titik bersejarah di mana tenaga angin dan suria menjana 30% tenaga elektrik di Kesatuan Eropah, mengatasi bahan api fosil buat kali pertama.
Malaysia sendiri mula mengharungi gelombang ini. Dalam satu langkah yang ketara, perjanjian 21 tahun bagi tenaga boleh diperbaharui telah ditandatangani untuk menggerakkan pusat data utama di dalam negara, dengan infrastruktur solar baharu dijangka hadir dalam talian pada tahun 2026.
Ini mencerminkan kebenaran yang lebih luas: tenaga boleh diperbaharui bukan lagi sekadar “hijau”, tetapi turut berdaya saing dari segi ekonomi dan strategik.
Namun begitu, sementara tenaga boleh diperbaharui berkembang, bahan api fosil masih menguasai campuran tenaga Malaysia. Arang batu dan gas terus membekalkan sebahagian besar tenaga elektrik, memperlahankan usaha pengurangan pelepasan. Peralihan sedang berlaku, cuma tidak cukup pantas.
Banyak pihak yang masih melihat tindakan iklim sebagai kos. Pada hakikatnya, ia adalah pelaburan. Memperluas tenaga boleh diperbaharui di Malaysia diunjurkan menjana puluhan ribu pekerjaan, terutamanya dalam sektor solar dan biotenaga.
Menjelang 2035, sektor tenaga boleh diperbaharui sahaja boleh menyokong lebih 46,000 pekerjaan, mengubah mata pencarian sambil mengurangkan pelepasan.
Sebaliknya, kos apabila tidak bertindak sudah makin kelihatan ketara. Kerosakan banjir, kesan kesihatan daripada tekanan haba, dan kehilangan produktiviti secara senyap-senyap membazirkan berbilion-bilion daripada ekonomi.
Perubahan iklim bukan lagi sekadar isu alam sekitar—ia adalah risiko perniagaan, krisis kesihatan awam dan kebimbangan keselamatan negara.
Kita mudah berasa kerdil dalam menghadapi krisis global, walhal Hari Bumi sendiri bermula sebagai gerakan akar umbi—dan hari ini, ia menggerakkan lebih satu bilion orang di seluruh dunia.
Sekecil-kecil tindakan individu sebenarnya lebih berimpak daripada yang kita sangkakan. Semudah membuat pilihan tenaga yang bijak dengan memasang panel solar di atas bumbung, menggunakan peralatan cekap tenaga, atau hanya mematikan peranti yang tidak digunakan. Itu sahaja dapat mengurangkan permintaan terhadap bahan api fosil.
Kita juga tidak terfikir akan kesan positif daripada berkongsi kenderaan, menggunakan pengangkutan awam, atau memilih untuk berjalan kaki dalam jarak pendek sebenarnya mampu mengurangkan pelepasan bahan pencemar udara dengan ketara.
Demikian juga dengan mengubah tabiat dengan cara mengurangkan sisa makanan, dan menyokong produk yang mesra alam.
Bayangkan sekiranya setiap isi rumah Malaysia mengurangkan penggunaan elektrik secara sederhana, impak yang terkumpul mungkin boleh menyaingi projek tenaga berskala besar.
Bagaimanapun, tindakan individu sahaja tidak mencukupi kerana “Kuasa Kita” dalam tema tahun ini juga merujuk kepada pengaruh kolektif. Kita memerlukan komuniti untuk memacu perubahan dengan menyokong perancangan bandar yang lebih hijau (lebih banyak pokok, kurang pulau haba konkrit).
Selain itu, masyarakat juga harus berganding bahu menyokong inisiatif kemampanan tempatan penggubal dasar.
Pelan hala tuju pembangunan Malaysia sendiri menekankan “pendekatan seluruh negara”, di mana kerajaan, industri dan masyarakat bekerjasama ke arah matlamat kemampanan. Di sinilah transformasi sebenar berlaku—bukan secara berasingan, tetapi melalui tanggungjawab bersama.
Memandangkan pecutan pemanasan global antara 2015 dan 2025 sudah lebih cepat daripada mana-mana dekad sebelumnya, dekad yang akan datang akan menentukan sama ada kita boleh mengehadkan pemanasan global ke tahap yang lebih selamat.
Tema “Kuasa Kita, Planet Kita” bagi sambutan tahun ini bukan sekadar harapan, ia menuntut tindakan.
Ia mencabar setiap daripada kita, daripada penggubal dasar kepada pelajar, daripada syarikat kepada isi rumah, untuk mengasimilasi satu kebenaran, iaitu kuasa untuk mengubah planet ini sentiasa menjadi milik kita, tetapi tanyalah diri sendiri “Apa yang kita lakukan mengenainya hari ini?”
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ts. Dr. Ismaniza Ismail
Pensyarah Kanan
Soil Assessment and Remediation Research Group
Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
e-mel: ismaniza@uitm.edu.my

Assoc Prof. Dr. Yong Soon Kong
Pensyarah Kanan
Soil Assessment and Remediation Research Group
Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)