Inflasi Mac meningkat: Rakyat berdepan cabaran penyesuaian kos

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 April– Tekanan krisis bekalan global kini mula memberi impak langsung kepada rakyat apabila kos sara hidup menunjukkan peningkatan ketara, terutamanya melibatkan sektor pengangkutan dan harga barangan makanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi meningkat kepada 1.7% pada Mac 2026, daripada 1.4% bulan sebelumnya.
  • Kos pengangkutan meningkat akibat kenaikan harga bahan api: diesel RM4.09 seliter, RON97 RM4.01 seliter.
  • Trend harga makanan bercampur; ayam RM9.33/kg naik, daging lembu menunjukkan penurunan.
  • Tekanan harga dipengaruhi faktor luaran seperti cuaca, kos input pertanian dan logistik, menuntut langkah penyesuaian yang lebih mampan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan bahawa kadar inflasi negara meningkat kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Kenaikan itu didorong terutamanya oleh lonjakan kos pengangkutan susulan kenaikan harga bahan api di pasaran, dengan diesel mencecah RM4.09 seliter dan RON97 pada kadar RM4.01 seliter.

“Keadaan ini membuktikan bahawa kesan krisis global tidak lagi terhad di peringkat pasaran antarabangsa sahaja. Ia sudah mula meresap ke dalam kos pengangkutan, logistik, harga barangan, dan perbelanjaan harian.”

“Dalam erti kata lain, rakyat kini sedang berhadapan dengan fasa penyesuaian kos yang semakin mencabar dan nyata,” kata Akmal kepada pemberita pada Taklimat Krisis Bekalan Global oleh Menteri Ekonomi, hari ini.

Dalam pada itu, trend harga barangan makanan turut menunjukkan perubahan bercampur.

Harga ayam dilaporkan meningkat kepada RM9.33 sekilogram manakala harga daging lembu pula mencatatkan penurunan.

Menurut beliau, tekanan harga itu tidak berlaku secara seragam di seluruh negara kerana ia sangat dipengaruhi oleh faktor luaran seperti cuaca, kos input pertanian, serta logistik.

Beliau menegaskan bahawa situasi semasa ini merupakan isyarat jelas bahawa krisis ekonomi global telah menembusi struktur perbelanjaan harian rakyat, sekali gus menuntut langkah penyesuaian yang lebih mampan.