Pengoperasian SK Bandar Putra 2 kurangkan kesesakan sekolah berhampiran

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh (tiga, kanan) bersama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (tengah) melihat fasiliti baharu ketika mengadakan lawatan kerja di SK Bandar Putra 2./BERNAMA

KULAI, 21 April – Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam fasa akhir persediaan sebelum memulakan operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Pendidikan kini dalam fasa akhir persediaan untuk memulakan operasi SK Bandar Putra 2.
  • SK Bandar Putra 2 akan menjadi sekolah alternatif untuk mengurangkan kepadatan murid di SK Bandar Putra dan SK Putra Utama.
  • Sekolah mempunyai 36 bilik darjah, kapasiti sehingga 1,260 murid, pembinaan bermula Ogos 2021 kos RM35.6 juta.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata sekolah baharu itu akan dijadikan sekolah alternatif kepada SK Bandar Putra dan SK Putra Utama bagi mengurangkan kepadatan murid di dua sekolah berkenaan.

“Kita akan membuat pemindahan murid dari dua sekolah terlibat yang berdepan kepadatan murid. Secara purata, setiap kelas di sekolah berkenaan mencecah 35 orang.

“Jadi langkah (pemindahan) ini demi keselesaan murid-murid,” ujarnya selepas mengadakan lawatan ke SK Bandar Putra 2.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang juga ahli Parlimen Kulai.

Pembinaan SK Bandar Putra 2 yang bermula Ogos 2021 melibatkan kos RM35.6 juta.

Sekolah baharu itu dilengkapi 36 bilik darjah dengan kapasiti sehingga 1,260 murid bagi satu sesi, tidak termasuk prasekolah dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).