
IPOH, 22 Ogos- Cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dilihat mahasiswa sebagai langkah yang dapat memperluas ruang kebebasan bersuara serta memperkasakan peranan pelajar dalam institusi pengajian tinggi.
- Pemansuhan AUKU beri ruang lebih untuk mahasiswa bersuara secara matang dan menggalakkan pemikiran kritis.
- Akta pengganti mesti komprehensif, seimbangkan kebebasan pelajar dan akauntabiliti pentadbiran institusi.
- Langkah itu bentuk mahasiswa lebih terbuka, berani luahkan pandangan tentang pendidikan, politik, ekonomi dan sosial.
- Kerajaan umum akan memansuhkan AUKU; rang undang-undang dibawa ke Parlimen tahun ini untuk perbahasan.
Mereka berpandangan pemansuhan akta berkenaan dapat memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan secara matang, selain menggalakkan pemikiran kritis dalam membincangkan pelbagai isu.
Pelajar, Danial Haikal berkata akta baharu yang menggantikan AUKU perlu lebih komprehensif dengan mengambil kira keseimbangan antara kebebasan mahasiswa dengan akauntabiliti pihak pentadbiran institusi pengajian tinggi.
“Saya setuju kalau AUKU dimansuhkan, tetapi akta yang menggantikannya mestilah lebih komprehensif dan memberikan keseimbangan antara mahasiswa dengan akauntabiliti pihak pentadbiran kolej,” katanya.
Luqman Hakim pula berpandangan pemansuhan AUKU merupakan langkah baik dalam membentuk mahasiswa yang lebih terbuka, bebas bersuara dan berfikiran kritis.
Ahmad Idham Suni menyifatkan pemansuhan AUKU sebagai satu inisiatif untuk bergerak ke hadapan dengan memberikan lebih kebebasan kepada pelajar.
“Saya melihat pemansuhan AUKU sebagai satu inisiatif untuk kami bergerak ke hadapan, dengan memberikan lebih kebebasan kepada pelajar, pada masa sama memastikan kami dapat berkembang ke arah yang lebih baik.”
Bagi M. Karthigeshan, langkah itu juga dapat membina keyakinan dan keberanian mahasiswa untuk menyentuh pelbagai isu serta mengemukakan pandangan dan cadangan berkaitan pendidikan, politik, ekonomi dan sosiologi masyarakat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU 1971 secara keseluruhan.
Rang undang-undang berkaitan perkara itu akan dibawa ke Parlimen tahun ini untuk dibahaskan.