
MIRI, 22 Ogos – Mangsa, Veronique Joseph, 31, yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Taman Negara Lambir, di sini, berjaya memberikan maklumat mengenai kedudukannya menerusi WhatsApp.
- Pasukan SAR kembali ke lokasi pada hari kedua, kira-kira 5.30 pagi; mangsa berjaya berikan kedudukan melalui sistem pesanan ringkas.
- Operasi SAR diteruskan dengan bantuan empat anggota bomba, empat anggota polis, lima renjer dan dua rakan mangsa.
- Veronique dilaporkan terpisah daripada lima rakannya selepas mereka keluar dari kawasan hutan Taman Negara Lambir.
- Rakan-rakan mendapati mangsa tiada kira-kira 4.30 petang sebelum laporan dibuat dan SAR digerakkan.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), setakat 9.00 pagi, mangsa masih boleh dihubungi menerusi aplikasi itu dan memaklumkan mengalami kecederaan ringan selepas tergelincir.
“Pada pukul 5.30 pagi hari ini yang memasuki hari kedua, pasukan SAR kembali ke lokasi dan mangsa berjaya memberikan maklumat mengenai kedudukannya melalui sistem pesanan ringkas.
“Operasi SAR masih diteruskan dengan bantuan empat anggota bomba, empat anggota polis, lima renjer serta dua rakan mangsa,” menurut laporan itu.
Pada Jumaat Veronique dilaporkan terpisah daripada lima rakannya selepas mereka keluar dari kawasan hutan di Taman Negara Lambir, Miri.
Kira-kira pukul 4.30 petang, rakan-rakannya mendapati mangsa tiada bersama kumpulan sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
Operasi mencari dan menyelamat atau SAR kemudian digerakkan, dengan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Miri bersama polis dan renjer Taman Negara terlibat.