
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) yang membawa gelaran Dato Laila Utama daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang membawa gelaran Dato Laila Utama.
- Perbincangan empat mata antara Perdana Menteri dan Sultan Brunei sempena Rundingan Pimpinan Tahunan ke-27 bagi mengukuh kerjasama dan isu serantau.
- Akan disaksikan majlis tandatangan dan pertukaran MoU serta instrumen dua hala di Baitul Mesyuarah, termasuk kerjasama Pengurusan Bencana.
- Lawatan rasmi diakhiri dengan Makan Tengah Hari Rasmi yang dihoskan Sultan di Baiturrahmah, Istana Nurul Iman.
- Hubungan ekonomi kukuh; jumlah dagangan Malaysia-Brunei direkodkan RM5.86 bilion pada 2025, Januari hingga Jun 2025 mencapai RM2.38 bilion.
Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran diadakan di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman di sini.
Anugerah tersebut dikurniakan secara eksklusif kepada kerabat diraja atau ketua kerajaan sebagai lambang hubungan dua hala yang sangat erat.
Selepas program tersebut, Perdana Menteri menghadiri program kedua iaitu pertemuan empat mata bersama Sultan Hassanal Bolkiah bagi membincangkan pelbagai isu serta mengukuhkan lagi hubungan kerjasama melibatkan kedua-dua negara sempena Rundingan Pimpinan Tahunan kali ke 27 (Annual Leaders Consultation – ALC 27) antara Malaysia-Brunei.
Selaku negara jiran rapat dan rakan kongsi di peringkat ASEAN, kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Perdana Menteri dan Sultan Brunei kemudian akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) serta instrumen dua hala di Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.
MoU kerjasama Pengurusan Bencana akan ditandatangani oleh menteri-menteri berkaitan mewakili kedua-dua negara.
Mengakhiri lawatan kerja rasmi ke Brunei, Perdana Menteri akan menghadiri Makan Tengah Hari Rasmi yang dihoskan oleh Sultan Brunei di Baiturrahmah, Istana Nurul Iman.
Turut berangkat, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Brunei, Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; dan Menteri Hal Ehwal Luar Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hubungan kerjasama antara Malaysia-Brunei terus mengukuh dalam segenap aspek. Dari sudut ekonomi, jumlah dagangan antara Malaysia-Brunei direkodkan berjumlah RM5.86 bilion pada tahun 2025.
Daripada jumlah itu, jumlah eksport ke Brunei bernilai RM4.20 bilion; manakala jumlah import dari Brunei bernilai RM1.66 bilion.
Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah dagangan antara kedua-dua negara telah mencecah RM2.38 bilion.