
PUTRAJAYA, 21 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memeterai kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dijangka siap pada 2028 sebagai langkah memperkukuh keselamatan maritim negara.
- Perjanjian bernilai US$83.75 juta (RM331.36 juta) ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN dan wakil Desan Shipyard, disaksikan Menteri.
- Perolehan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan Kelima Tahun 2025 dan dianugerahkan kepada Desan Shipyard, Turkiye.
- Projek dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.
- Pembinaan kapal MPMS pertama dijangka siap tahun depan dan akan dipamerkan pada LIMA 2027, menjadi mercu tanda APMM.
Perjanjian bernilai US$83.75 juta atau RM331.36 juta itu ditandatangani Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr. Awang Alik Jeman bersama-sama wakil syarikat Desan Shipyard Cenk, Ismail Kaptanoglu dan disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memperkukuh keupayaan APMM dalam mengawasi keselamatan maritim negara. Perolehan kapal MPMS kedua ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Kelima Tahun 2025 dan dianugerahkan kepada Desan Shipyard, Turkiye yang berpangkalan di Istanbul,” katanya.
Beliau menjelaskan, projek itu akan dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.
Pembinaan kapal MPMS pertama APMM yang dijangka siap pada tahun depan akan menjadi mercu tanda kebanggaan agensi itu serta akan dipamerkan pada Pameran maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA 2027).
Mengenai aspek pengoperasian dua kapal MPMS, beliau berkata ia akan ditentukan APMM dan perolehan aset itu akan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan negara dalam menangani sebarang ancaman.