
IPOH, 21 April – Tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah akan diambil terhadap pencerobohan tanah kerajaan, khususnya melibatkan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di Perak.
- Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap pencerobohan yang menjejaskan kepentingan alam sekitar.
- Peruntukan undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengenakan denda dan hukuman penjara.
- Pendakwaan ke mahkamah akan diambil; kompaun dan hukuman mengikut Seksyen 425 dan 426.
- Penguatkuasaan akan diperkukuh dengan rondaan dan pemantauan berkala di kawasan panas serta hutan paya bakau.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan yang menjejaskan kepentingan alam sekitar.
Menurutnya, peruntukan undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengambil tindakan termasuk mengenakan hukuman denda dan penjara terhadap pesalah.
“Tindakan pendakwaan ke mahkamah akan diambil bagi memastikan pihak yang menceroboh dikenakan tindakan kompaun dan penjara. Kanun Tanah Negara melalui Seksyen 425 dan 426 menyatakan mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan penjara sehingga 10 tahun,” katanya.
Datuk Seri Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan lisan dalam Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan undang-undang memerlukan penguatkuasaan yang konsisten bagi memastikan keberkesanannya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan rondaan di kawasan berisiko termasuk lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas.
Ujarnya, pemantauan berkala di kawasan sensitif seperti hutan paya bakau akan terus dipertingkat bagi memastikan kelestarian alam sekitar negeri terus terpelihara.