Alcaraz, Sabalenka Atlet Terbaik Dunia Laureus 2026

Aryna Sabalenka (KIRI) dan Carlos Alcaraz / REUTERS

MADRID, 21 April – Dua bintang tenis dunia menguasai pentas berprestij Laureus World Sports Awards apabila Aryna Sabalenka dan Carlos Alcaraz masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Wanita dan Lelaki Terbaik Dunia, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Carlos Alcaraz merampas semula kedudukan nombor satu dunia selepas memenangi Terbuka Perancis dan Terbuka AS pada 2025.
  • Aryna Sabalenka memenangi New York dan mara ke final Australia serta Perancis, menunjukkan konsistensi sepanjang musim 2025.
  • Paris Saint-Germain dinobatkan Pasukan Terbaik Dunia selepas memenangi liga domestik, Piala Perancis dan Liga Juara-Juara pertama mereka pada 2025.

Pengiktirafan itu hadir susulan prestasi cemerlang kedua-dua pemain sepanjang musim 2025 yang menyaksikan mereka mengakhiri tahun sebagai pemain nombor satu dunia bagi kategori wanita dan lelaki.

Alcaraz, 22, dari Sepanyol kembali merampas kedudukan nombor satu dunia selepas menjuarai dua gelaran Grand Slam iaitu Terbuka Perancis dan Terbuka AS, sekali gus membuktikan keunggulannya di pelbagai permukaan gelanggang.

Sabalenka, 27, pula turut mempamerkan aksi konsisten apabila muncul juara di New York selain mara ke pentas final di Australia dan Perancis, melengkapkan musim yang gemilang buat pemain Belarus itu.

Kemenangan berkenaan meletakkan Sabalenka sebaris dengan legenda tenis dunia yang pernah memenangi anugerah sama termasuk Serena Williams, Jennifer Capriati, Justine Henin dan Naomi Osaka.

Dalam perkembangan lain, majlis berprestij itu buat pertama kali dikendalikan oleh dua atlet terkenal iaitu Novak Djokovic dan Eileen Gu.

Sementara itu, pemain golf Rory McIlroy meraih Anugerah Kemunculan Semula Terbaik selepas menamatkan penantian 11 tahun untuk melengkapkan Grand Slam karier menerusi kemenangan playoff di Masters 2025, sebelum mempertahankan gelaran itu pada 2026.

Pelumba Lando Norris pula dinobatkan sebagai Atlet ‘Breakthrough’ Terbaik, manakala kelab bola sepak Paris Saint-Germain memenangi Anugerah Pasukan Terbaik Dunia selepas meraih pelbagai kejuaraan termasuk liga domestik, Piala Perancis serta gelaran Liga Juara-Juara pertama mereka pada 2025.

Anugerah Laureus yang diperkenalkan sejak tahun 2000 itu menyaksikan calon dipilih oleh media global, manakala pemenang ditentukan oleh 69 ahli Laureus World Sports Academy.-REUTERS