PGA gugur aksi pembuka musim jelajah di Hawaii mulai 2027

FOTO AFP

LOS ANGELES, 21 April – Jelajah golf profesional, PGA Tour, dijangka menamatkan tradisi pembuka musim di Hawaii bermula tahun 2027, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan The Sentry di Maui tidak akan diteruskan.
  • Terbuka Sony di Waialae sedang dibincang untuk dimasukkan ke litar PGA Tour Champions bagi pemain veteran.
  • Ketua Pegawai Eksekutif Brian Rolapp memberi bayangan membuka musim dengan acara berprofil tinggi di venue ikonik barat Amerika.

Antara perubahan utama ialah penganjuran kejohanan The Sentry di Maui yang tidak akan diteruskan. Kejohanan itu sebelum ini berlangsung setiap tahun dari 1999 hingga 2025 di The Plantation Course at Kapalua.

Selain itu, Terbuka Sony yang diadakan di Waialae Country Club sejak 1971, kini dalam perbincangan untuk dijadikan sebahagian daripada litar PGA Tour Champions yang menampilkan pemain veteran.

Untuk rekod, edisi 2026 Terbuka Sony dimenangi pemain Amerika Syarikat, Chris Gotterup.

Menurut PGA Tour, pihaknya menghargai sokongan berterusan daripada komuniti tempatan termasuk Kapalua Resort, daerah Maui serta kerajaan negeri Hawaii sepanjang penganjuran acara pembuka musim itu.

Langkah meninggalkan Hawaii sebenarnya sudah lama diperkatakan, dengan Ketua Pegawai Eksekutif PGA Tour, Brian Rolapp, sebelum ini memberi bayangan untuk memulakan musim di lokasi baharu.

Beliau menyatakan hasrat untuk membuka musim dengan acara berprofil tinggi di venue ikonik di bahagian barat Amerika Syarikat.

Jadual penuh PGA Tour bagi musim 2027 dijangka diumumkan dalam masa terdekat.-REUTERS