Satu lagi kapal minyak Malaysia dijangka tiba hujung minggu ini

Jurucakap kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil

MUAR, 20 April – Satu lagi kapal Malaysia yang membawa muatan minyak mentah berjaya melalui Selat Hormuz dan dijangka tiba selewat-lewatnya hujung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketibaan kapal itu akan memperkukuhkan jaminan bekalan minyak mentah negara.
  • Bekalan penting memastikan operasi penapisan dalam negara berjalan lancar dan menjamin bekalan bahan api sehingga hujung Jun.
  • Bekalan di 639 stesen minyak di seluruh Johor kini mencukupi dan stabil tanpa gangguan atau kehabisan stok.
  • Pelarasan kuota subsidi BUDI 95 kepada 200 liter sebulan bersifat sementara sehingga bekalan bahan mentah stabil.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata ketibaan kapal itu akan memperkukuhkan jaminan bekalan minyak mentah negara, selepas kapal pertama tiba pada 17 April lalu dengan muatan sejuta liter.

Beliau berkata bekalan itu penting bagi memastikan operasi penapisan dalam negara berjalan lancar sekali gus menjamin bekalan bahan api mencukupi sehingga hujung Jun.

“Satu lagi kapal insya-Allah akan tiba mungkin pertengahan atau hujung minggu ini. Ini akan menjamin stok bekalan minyak mentah yang akan diproses di fasiliti penapisan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan Sistem BUDI MADANI RON95 dan diesel di sebuah stesen minyak di Pagoh.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata bekalan minyak di 639 stesen minyak di seluruh Johor ketika ini adalah mencukupi dan stabil tanpa gangguan atau kehabisan stok.

Beliau turut menjelaskan pelarasan kuota subsidi BUDI 95 kepada 200 liter sebulan adalah bersifat sementara sehingga bekalan bahan mentah minyak negara kembali stabil.