
KUALA LUMPUR, 19 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa statistik semasa individu yang menghidapi hemofilia di negara ini mungkin belum menggambarkan angka sebenar berikutan isu kekurangan kesedaran dan akses kepada diagnosis awal.
- KKM komited memastikan akses rawatan saksama dan pendekatan penjagaan holistik bagi semua pesakit gangguan pendarahan.
- Kementerian mahu memastikan setiap pesakit memperoleh kualiti hidup optimum melalui sokongan perubatan menyeluruh.
- Penganjuran kongres WFH memberi peluang mempelajari penemuan perubatan terkini untuk meningkatkan rawatan tempatan.
- KKM berharap kongres menjadi pemangkin memperkukuh kerjasama global demi kesejahteraan pesakit di seluruh dunia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, berdasarkan data Tinjauan Global Tahunan WFH 2024, terdapat seramai 1,056 individu yang menghidapi hemofilia.
“Tinjauan Global Tahunan WFH 2024, Malaysia mempunyai 1,056 individu berdaftar yang hidup dengan hemofilia, terdiri daripada 83.3 peratus Hemofilia A dan 16.7 peratus Hemofilia B, diikuti 140 individu dengan Penyakit von Willebrand serta 91 individu yang hidup dengan gangguan pendarahan jarang yang lain.
“Kami menyedari jumlah ini mungkin tidak menggambarkan angka sebenar kerana masih ramai yang belum didiagnosis akibat kekurangan kesedaran dan saringan,” katanya ketika berucap di Kongres Dunia Persekutuan Hemofilia Sedunia (WFH) 2026 di sini hari ini.
Menyedari jurang tersebut, Dr Mahathar menegaskan bahawa KKM akan terus komited dalam memastikan akses rawatan yang saksama dan pendekatan penjagaan holistik bagi semua pesakit gangguan pendarahan.
Jelas beliau, kementerian mahu memastikan setiap pesakit mendapat kualiti hidup yang optimum menerusi sokongan perubatan yang menyeluruh.
Beliau turut menyifatkan penganjuran kongres yang menghimpunkan lebih 1,700 delegasi antarabangsa itu sebagai satu peluang keemasan untuk Malaysia mempelajari penemuan perubatan terkini.
Beliau berharap penganjuran kongres berkenaan mampu menjadi pemangkin dalam memperkukuh jaringan kerjasama global demi meningkatkan kesejahteraan pesakit di seluruh dunia.