
KUALA LUMPUR, 19 April – Masyarakat kini mula mengamalkan pendekatan perbelanjaan lebih berhemah dengan memberi keutamaan kepada keperluan berbanding kehendak sebagai langkah memastikan kelangsungan hidup yang lebih stabil.
- Rakyat memperkasakan simpanan kecemasan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
- Pengurusan kewangan teliti dan berjimat cermat dititikberatkan sebagai persediaan menghadapi situasi tidak dijangka.
- Pelajar digalakkan berdikari dengan mencari pendapatan sampingan, tidak hanya bergantung kepada elaun semata-mata.
- Perdana Menteri menasihatkan pengurusan perbelanjaan berhemah susulan konflik antarabangsa dan kemungkinan perubahan kedudukan ekonomi.
Tinjauan RTM mendapati, orang ramai mula mengambil langkah proaktif termasuk memperkasakan simpanan kecemasan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Peniaga, Zaiddol Roslan berkata, pengurusan kewangan yang teliti amat dititikberatkan ketika ini, terutamanya sebagai persediaan menghadapi kemungkinan situasi tidak dijangka pada masa hadapan.
“Kita lebih mengamalkan sikap berjimat cermat kerana ketidaktentuan masa hadapan, termasuk isu kenaikan harga minyak. Oleh itu, kita memberi keutamaan kepada keperluan berbanding kehendak.
“Dari segi simpanan pula, kita berusaha untuk menabung sebagai persediaan jangka panjang.
“Langkah ini penting sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau situasi tidak dijangka pada masa hadapan.”katanya.
Bagi golongan pelajar pula, cabaran ekonomi semasa menuntut mereka untuk lebih berdikari dengan mencari pendapatan sampingan bagi menampung kos sara hidup.
Nurul Umairah Nur Hamdy, berpendapat, pelajar tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada elaun semata-mata sebaliknya perlu bijak mencari inisiatif tambahan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan.
“Sebagai seorang pelajar, saya berpendapat bahawa setiap individu perlu memberi perhatian serius dalam menilai semula antara keperluan dan kehendak. Selain itu, sebagai pelajar juga, kita tidak seharusnya hanya bergantung kepada elaun semata-mata, sebaliknya digalakkan untuk mencari pendapatan sampingan.
“Usaha ini penting kerana ia bukan sahaja membantu menampung perbelanjaan harian, malah mengajar kita untuk lebih berdikari. Dalam masa yang sama, kita perlu sanggup meletakkan usaha tambahan bagi memastikan kedudukan kewangan lebih stabil,” ujarnya.
Nada sama dikongsi Sharifah Nadia Maisarah Syed Salim yang menyifatkan perancangan kewangan awal adalah kunci persediaan masa depan, selaras dengan pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’.
“Bagi saya, sebagai seorang pelajar, mencari pendapatan sampingan adalah lebih penting kerana kita perlu belajar untuk menanggung diri sendiri. Selain itu, ia juga sebagai persediaan untuk masa depan.
“Justeru, kita perlu bersikap proaktif dan membuat perancangan kewangan awal”, jelasnya.
Sementara itu, pembantu kedai, Muhamad Hafiq Aiman Mohd Azmani berkata, tumpuan kini lebih terarah kepada meningkatkan simpanan sebagai langkah menghadapi kesan krisis tenaga global yang sedang berlaku
“Saya mengamalkan sikap berjimat cermat dengan memberi keutamaan kepada keperluan. Dalam keadaan krisis, saya lebih menumpukan kepada penjimatan dan meningkatkan simpanan.
“Bagi saya, adalah penting untuk kita memperbanyakkan simpanan sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,”katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak agar menguruskan perbelanjaan dengan berhemat susulan konflik Asia Barat yang masih berlarutan.
Beliau memberi amaran bahawa kedudukan ekonomi boleh berubah dalam situasi antarabangsa yang tidak menentu dan kerajaan bimbang akan berlakunya kegawatan jika rakyat berada dalam zon terlalu selesa tanpa mengendahkan pengurusan kewangan.