
KUANTAN, 18 April – Usaha memperkukuh perpaduan dalam UMNO menerusi inisiatif “Rumah Bangsa” terus menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai bekas ahli, termasuk tokoh yang pernah digantung atau dipecat, kembali menyertai parti itu.
- Selaras ilham Presiden Ahmad Zahid, ruang dibuka untuk bekas ahli kembali menyertai UMNO.
- Pendekatan inklusif Rumah Bangsa langkah tepat untuk menyatupadukan orang Melayu dan memulihkan kekuatan parti.
- Cadangan permudahkan mekanisme kemasukan semula agar lebih ramai kembali, mengekalkan relevansi parti dan perjuangan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan tersebut selari dengan ilham Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang membuka ruang seluas-luasnya kepada individu yang pernah meninggalkan parti untuk kembali bersama.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, pendekatan inklusif menerusi “Rumah Bangsa” merupakan langkah tepat dalam usaha menyatupadukan orang Melayu serta mengembalikan kekuatan parti.
“Ia satu perkara yang baik. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden atas ilham beliau yang berjiwa besar. Niatnya tidak lain adalah untuk menyatupadukan kembali orang Melayu, dan ramai yang mahu melihat UMNO serta Barisan Nasional kembali kuat seperti dahulu,” katanya.
Tambah beliau, sambutan yang diterima termasuk di peringkat bahagian mencerminkan keinginan dalam kalangan masyarakat Melayu untuk melihat parti itu kembali bersatu dan kukuh.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar mekanisme kemasukan semula ahli dipermudahkan bagi menggalakkan lebih ramai kembali menyertai UMNO.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan parti itu terus relevan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di samping memperkukuh perpaduan masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Malaysia East Coast and Entrepreneur Expo 2026 di sini.