LTSIP diiktiraf lapangan terbang domestik paling moden dan cantik di Malaysia

LTSIP diiktiraf sebagai lapangan terbang domestik paling moden dan cantik di Malaysia ketika ini. Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 18 April – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini kini diiktiraf sebagai lapangan terbang domestik paling moden dan cantik di negara ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapasiti terminal baharu mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun.
  • Keluasan terminal diperluas daripada 12,000 kepada 36,000 meter persegi.
  • Kemudahan parkir ditingkatkan kepada 1,300 lot dan parkir pesawat ditambah kepada 11.
  • Projek ini manifestasi komitmen Kerajaan MADANI memacu infrastruktur udara serta merangsang pelancongan dan ekonomi setempat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata status itu berikutan projek naik taraf fasa pertama LTSIP ialah projek terbaharu disiapkan kerajaan berbanding lapangan terbang lain yang masih dalam proses penaiktarafan.

“Jadi setakat ini, LTSIP ialah lapangan terbang domestik paling moden dan cantik di seluruh negara.

“Sudah tentu kita harapkan lapangan terbang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan dan kerjasama ini dapat memanfaatkan rakyat serta negara secara berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian terminal baharu LTSIP di sini hari ini.

Anthony memaklumkan, LTSIP yang baharu mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun. Malah keluasan terminal juga diperluaskan daripada 12,000 meter persegi kepada 36,000 meter persegi.

Selain itu katanya, kemudahan parkir kenderaan turut dipertingkatkan daripada 450 kepada 1,300 lot, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kemudahan kepada pengguna selain jumlah parkir pesawat dinaikkan daripada lima kepada 11.

“Projek penaiktarafan LTSIP ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh jaringan infrastruktur pengangkutan udara negara secara inklusif dan mampan, khususnya di Kelantan.

“Usaha ini dilaksanakan bagi memenuhi keperluan mobiliti rakyat yang semakin meningkat, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

“Berdasarkan statistik oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), LTSIP sudah mengendalikan seramai lebih 1.7 juta penumpang pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 14.1 peratus berbanding 1.47 penumpang pada tahun 2024,” katanya.

Jelas beliau lagi, kapasiti asal terminal sebanyak 1.5 juta penumpang setahun, dengan lebihan sekitar 14.8 peratus, sekali gus menuntut tindakan segera kerajaan untuk melaksanakan penaiktarafan bagi menampung permintaan yang kian meningkat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kerja Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Kerajaan Negeri Kelantan, kontraktor dan semua pihak terlibat menjayakan projek itu.