
KUALA LUMPUR, 16 April – Malaysia masih memiliki asas makroekonomi yang kukuh meskipun sedang berdepan krisis tenaga global, sekali gus memberi ruang kepada Kerajaan untuk meneroka langkah terbaik dalam mendepani cabaran ekonomi terhadap rakyat.
- Unjuran pertumbuhan KDNK positif menunjukkan daya tahan dan kestabilan ekonomi negara.
- Kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk mengurangkan impak kenaikan kos akibat krisis tenaga.
- Rakyat perlu dapatkan maklumat sahih serta sesuaikan corak penggunaan tenaga demi kestabilan bekalan.
- Potensi tenaga boleh baharu besar namun pelaksanaan jangka panjang; tindakan segera memperbaiki penggunaan tenaga.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang positif membuktikan daya tahan ekonomi negara kekal stabil.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.7 peratus tahun ini, manakala Bank Dunia meletakkan unjuran pada 4.5 peratus, selari dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0 hingga 5.0 peratus.
“Ini jelas menunjukkan bahawa asas makroekonomi kita sangat kukuh dan kekuatan ini memberi ruang penampan kepada negara untuk meneroka peluang-peluang baharu bagi mengurangkan kesan tekanan krisis ini kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Bicara Naratif di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memastikan jaringan keselamatan sosial dapat diperkukuh semaksimum mungkin supaya kesan kenaikan kos akibat krisis tenaga global dapat diminimumkan.
Dalam pada itu, rakyat juga perlu memainkan peranan bersama kerajaan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa. Tegasnya ekonomi negara bukan hanya digerakkan kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak termasuk rakyat.
“Rakyat perlu mendapatkan maklumat tepat daripada sumber sahih dan pada masa sama menyesuaikan corak penggunaan tenaga masing-masing bagi membantu menjamin kestabilan bekalan,” katanya.
Meskipun Malaysia mempunyai potensi besar dalam tenaga boleh baharu, pelaksanaannya memerlukan tempoh masa panjang, justeru langkah segera ketika ini ialah memperbaiki corak penggunaan tenaga dalam kalangan masyarakat.