
KOTA KINABALU, 19 April – Sabah FC tekad memburu kejuaraan menjelang aksi akhir kedua Piala Cabaran MFL berdepan Penang FC yang dijadual berlangsung di Stadium Likas, malam ini.
- Jurulatih Sabah Juan Torres Garrido kata pasukan kini lebih baik; beberapa tonggak dijangka kembali dan kelemahan telah dianalisis.
- Kapten Dominic Tan anggap perlawanan peluang besar untuk menjulang trofi dan menyeru sokongan padu penyokong.
- Penang FC bersedia walau bimbang kecederaan pemain import; Dylan Wenzel-Halls masih menunggu laporan perubatan tetapi mungkin boleh diturunkan.
- Perlawanan pertama berakhir seri 1-1, menjadikan aksi timbal balik penentu juara.
Ketua jurulatih, Juan Torres Garrido berkata, pasukan kini berada dalam keadaan lebih baik dengan beberapa tonggak utama dijangka kembali memperkuatkan skuad.
“Pasukan berada dalam kondisi lebih baik dan kami telah melakukan analisis terhadap perlawanan pertama. Pemain juga bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
“Kami perlu beraksi dengan baik dan yakin dengan sokongan penyokong di laman sendiri, pasukan akan tampil lebih kuat,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan, Dominic Tan menyifatkan perlawanan ini sebagai peluang terbaik untuk mencipta kejayaan di hadapan penyokong sendiri.
“Bagi saya ini satu peluang besar untuk kita memenangi trofi, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri di Sabah.
“Kejayaan ini amat bermakna buat penyokong, kelab, pemain dan seluruh barisan pasukan sekiranya kita berjaya mencapainya,” katanya.
Beliau dalam masa sama menyeru penyokong agar hadir memberikan sokongan padu bagi membantu pasukan menghadapi tekanan perlawanan akhir tersebut.
Dalam pada itu, Penang FC juga telah bersedia meskipun berdepan sedikit kebimbangan melibatkan kecederaan pemain import.
Ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail memaklumkan persiapan pasukan berjalan lancar, dengan hanya Dylan Wenzel-Halls masih menunggu laporan akhir pasukan perubatan.
“Kita kini berada dalam persiapan yang baik, cuma Dylan masih menunggu keputusan daripada pasukan perubatan.
“Namun saya optimis dia berkemungkinan dapat diturunkan dalam perlawanan ini,” katanya.
Menurut beliau, tahap kecergasan pemain berada pada tahap memuaskan selain menunjukkan fokus tinggi sepanjang sesi latihan menjelang aksi akhir.
“Dari segi taktik, saya rasa tidak banyak berubah. Cuma yang penting pemain perlu membuat keputusan tepat dalam situasi sukar kerana setiap minit dalam perlawanan akhir ini amat penting,” katanya lagi.
Kapten pasukan, Stefano Brundo pula menyifatkan perlawanan akhir ini sebagai peluang terbaik untuk menghadiahkan kejayaan kepada penyokong.
“Kami hanya perlukan satu gol lebih daripada mereka atau menang menerusi sepakan penalti. Jadi, kami mempunyai peluang yang besar,” katanya.
Perlawanan akhir pertama membabitkan Penang dan Sabah di Stadium Bandaraya pada awal April lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1.