JBPM kesan 11 panggilan palsu di Pulau Pinang

Datuk Ahmad Izram Osman (kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 JBPM Pulau Pinang hari ini

BUTTERWORTH, 16 April– Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 2,434 panggilan kebakaran dan penyelamatan di Pulau Pinang setakat Mac tahun ini, dengan 11 daripadanya dikenal pasti sebagai panggilan palsu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan palsu menjejaskan kecekapan operasi dan melambatkan tindak balas kecemasan sebenar.
  • Panggilan palsu merugikan dari segi kos dan boleh mengancam nyawa semasa kejadian sebenar.
  • JBPM menggesa masyarakat bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan talian kecemasan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata panggilan palsu boleh menjejaskan kecekapan operasi serta melambatkan tindak balas terhadap kecemasan sebenar.

“Kita menyeru kepada masyarakat supaya tidak melakukan panggilan palsu sebab setiap panggilan kita anggap sebagai kecemasan sebenar. Ia bukan sahaja merugikan dari segi kos, tetapi boleh menjejaskan nyawa sekiranya berlaku kejadian sebenar ketika anggota sedang bertindak balas terhadap panggilan palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 JBPM Pulau Pinang di sini.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan talian kecemasan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan operasi serta berpotensi mengancam nyawa sekiranya berlaku insiden sebenar pada masa sama.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah.