
PUTRAJAYA, 16 April – Malaysia akan mengutamakan keperluan bahan api domestik, sebelum membekalkan sebarang lebihan kepada Australia.
- Kerajaan mendapat jaminan Petronas bahawa bekalan bahan api mencukupi untuk kegunaan dalam negara.
- Sebarang lebihan akan disalurkan kepada Australia melalui kerjasama seimbang berasaskan kepercayaan dan komitmen bersama.
- Australia mengulangi komitmen mematuhi perjanjian bekalan sedia ada dan kedua negara menekankan penghormatan terhadap perjanjian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah mendapat jaminan daripada Petronas bahawa bekalan bahan api mencukupi untuk penggunaan dalam negara.
Manakala, sebarang lebihan akan disalurkan kepada Australia menerusi kerjasama yang disifatkan sebagai perkongsian seimbang, berasaskan kepercayaan dan komitmen bersama.
“Keutamaan sudah tentu terhadap keperluan domestik serta ketahanan ekonomi dalam negara. Namun di sinilah rundingan dan pertemuan tertentu antara rakan-rakan menjadi amat penting.
“Seperti yang anda lihat, terdapat beberapa sumber mineral yang kita perlukan. Maksud saya, kita mengimport gas LNG dari Australia dan mereka juga membekalkan keperluan tersebut kepada kita.
“Bagi menghormati komitmen dan perjanjian yang telah dimeterai, kita juga perlu memastikan bahawa keperluan mereka melebihi apa yang mampu kita sediakan, turut dipenuhi dan dihormati sewajarnya,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese di Bangunan Perdana Putra di sini.
Menurut beliau, Malaysia mengimport gas termasuk Gas Asli Cecair (LNG) dari Australia yang telah mengulangi komitmennya untuk mematuhi perjanjian bekalan sedia ada, manakala Malaysia pula akan memastikan keperluan Australa dipenuhi setelah keperluan dalam negara dipenuhi terlebih dahulu.